Berita

DAP pertikai keikhlasan jawapan Husni mengenai GST

SEREMBAN, 1 JULAI: Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong menganggap jawapan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah mengenai isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Parlimen sebagai tidak ikhlas.

Katanya, ini kerana majoriti rakyat tidak mahu GST dilaksanakan tetapi Husni disyaki bersikap tidak jujur dalam jawapan beliau di Parlimen.

Husni dalam kenyataannya memaklumkan bahawa kerajaan sekarang sedang melaksanakan kajian mengenai GST yang berdasarkan keadaan ekonomi dan harga semasa. Kajian sebelum ini yang dibuat pada 2009, adalah berdasarkan kepada keadaan ekonomi dan harga pada masa itu. Oleh kerana terdapatnya perubahan keadaan ekonomi dan harga, maka kajian semula perlu dijalankan. Sehubungan itu, kerajaan belum menetapkan bila GST akan dilaksanakan.

Menurut Chin Tong, berikutan jawapan Husni itu, dua masalah besar timbul iaitu boleh dianggap kerajaan hanya menangguh sementara pelaksanaan GST dan ini bermakna GST boleh dilaksanakan pada bila-bila masa difikirkan perlu oleh kerajaan BN.

“Kerajaan perlu ingat bahawa ia akan membangkitkan kemarahan rakyat jika GST dilaksanakan. Kita semua tahu bahawa melalui bayaran BR1M sebelum ini, kerajaan memaklumkan bahawa 60 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan.

“Ini bermakna 60 peratus rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan hujah kononnya barangan rakyat berpendapatan rendah dikenakan kadar sifar GST adalah tidak realistik. Walaupun barangan kadar sifar GST, golongan berpendapatan rendah iaitu golongan 60 peratus penerima BR1M akan dikenakan GST untuk barangan dan perkhidmatan lain.

“Pelaksanaan GST tentu akan menyebabkan taraf kehidupan golongan 60 peratus itu terjejas kerana mereka yang selama ini tidak dikenakan cukai pendapatan akan terpaksa membayar cukai melalui GST,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, justeru itu, pendapatan boleh guna (disposable income) golongan ini akan berkurangan akibat kutipan GST.

Menurutnya, apabila pendapatan boleh guna golongan 60 peratus ini terancam bermakna pertumbuhan ekonomi akan terjejas kerana keadaan eksport menurun, perbelanjaan dan penggunaan tempatan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu, katanya, jika kerajaan tetap mahu melaksanakan GST, ia bukan sahaja akan menambah derita golongan berpendapatan rendah, malah juga akan membebankan kerajaan kerana ia memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

“Dakwaan Husni bahawa kajian GST hanya dilakukan pada 2009 juga tidak benar kerana  atas nama “Panel Kajian Semula Cukai (GST)”, sebanyak RM22 juta diperuntukkan pada 2010, RM13 juta pada 2011, RM11 juta pada 2012 dan RM5 juta pada 2013 iaitu berjumlah RM51 juta dalam empat tahun digunakan dalam belanjawan sejak 2010 untuk kajian pelakasanaan GST.

“Pada 2013, satu perkara perbelanjaan bertajuk “Perluasan Dasar Cukai” (Kod 100600) yang bernilai RM50 juta juga disyaki ada kena-mengena dengan pelaksanaan GST,” katanya.

Sehubungan itu, Chin Tong menggesa Menteri Kewangan mengumumkan hasil kajian panel itu sejak 2009; kerana Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia tidak mahu lagi kerajaan merahsiakan kajian GST kerana ia membabitkan kesejahteraan rakyat terbanyak

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu mengumumkan konsultan yang terpilih untuk menjalankan kajian berkenaan kerana ini juga perlu diketahui rakyat Malaysia

Beliau berkata, jika kerajaan BN benar-benar mahu melaksanakan GST, satu jawatankuasa pilihan Parlimen yang merangkumi Ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak iaitu BN dan Pakatan Rakyat perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan meneliti pandangan rakyat Malaysia.-Roketkini.com