Berita

Laksana segera cadangan RCI: Tony Pua

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua melahirkan simpati terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana rumah banglonya diceroboh pencuri, Sabtu lalu.

“Saya tahu bagaimana rasanya rumah dimasuki pencuri kerana rumah saya sendiri juga dua kali pernah dimasuki pencuri pada 2009 dan 2010. Itu adalah satu daripada sebab mengapa saya berpindah ke pangsapuri pada 2011.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana tidak ada yang cedera dalam insiden itu. Kejadian itu dan yang lalu kerap berlaku kepada VIP termasuk ahli keluarga menteri dan pegawai polis membuktikan jenayah bukan persepsi semata.

“Jika menteri dan pegawai polis atasan tidak terlepas daripada jenayah, maka bagaimana rakyat biasa dapat tidur lena?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menggesa pihak polis dan kerajaan agar berdepan realiti terhadap kejadian jenayah yang semakin berleluasa.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis harus menerima cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan melaksanakan semua pendekatan yang perlu bagi meningkatkan keberkesanan dan profesionalisme pasukan polis.

“Selagi mereka berlengah-lengah, ia akan meningkatkan kadar jenayah dan menjadikan Malaysia tidak selamat dan bukan sahaja kepada rakyat malah pembangunan kondusif perniagaan serta pelaburan.

“Jika kerajaan dan polis tidak mahu menerima hakikat, maka tiada pendekatan yang akan diambil pihak berkuasa bagi membendung isu berkenaan,” katanya.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan yang tidak memberikan fakta sebenar kepada umum mengenai kadar jenayah negara untuk menutup kesalahan sendiri kerana tidak berupaya menanganinya.

“Statistik jenayah beberapa tahun lalu telah dimanipulasi bagi memberikan rakyat persepsi yang salah berhubung isu keselamatan.

“Kerajaan mendakwa jenayah terbuka berkurangan kepada 40 peratus beberapa tahun ini dengan indeks jenayah menurun kepada 25 peratus antara 2007 dan 2011.

“Tapi sebaliknya kerajaan menyembunyikan fakta indeks jenayah meningkat kepada 69 peratus dalam tempoh sama,” ujarnya. -Roketkini.com