Berita

DAP lancar program pengambilan Ejen Impian Malaysia

GELANG PATAH, 8 JULAI: DAP melancarkan program pengambilan Ejen Impian Malaysia peringkat kebangsaan bagi mengumpul sukarelawan kalangan rakyat Malaysia, termasuk yang tidak menjadi ahli parti bagi mengadakan kegiatan dan program ke arah memartabatkan jati diri dan kesedaran rakyat khusus generasi muda.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata ini kerana DAP berhadapan dengan cabaran untuk menterjemah semangat UBAH yang ditunjukkan rakyat Malaysia ketika PRU-13 ke dalam gerak kerja kemasyarakatan yang membina supaya menang besar pada Pilihan Raya Sarawak 2015 dan seterusnya menawan Putrajaya pada PRU-14.

“Sebagai parti kedua terbesar di Malaysia, kami mencari setiap ruang yang mungkin ada untuk membentuk hubungan dengan kelompok pengundi baru yang sejauh ini masih berada di luar jangkauan kami serta untuk memantapkan sokongan terhadap usaha memartabatkan Impian Malaysia.

“Kami mengharapkan anda untuk menjadi Ejen Impian Malaysia dan mengambil bahagian dalam kerja kemasyarakatan di kawasan luar bandar dan di luar ruang siber,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Impian Malaysia adalah keinginan untuk mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang anggotanya bersatu sebagai satu bangsa yang diikat oleh satu kewaganegaraan, melampaui perbezaan suku kaum, agama, budaya, dan bahasa.

Menurutnya, Impian Malaysia bukan muncul hari ini, ia sudah lama wujud, malah sebelum Malaya dan Malaysia diasaskan.

“Pemimpin Melayu Johor, Datuk Onn Jaafar telah memperjuangkan Impian Malaysia 62 tahun lalu apabila menyarankan pada 1951 agar UMNO membuka pintu kepada bukan Melayu dan mengubah nama parti itu daripada United Malays National Organisation kepada United Malayans National Organisation.

“Impian Malaysia sejak berdekad lalu dikongsi oleh semua warga Malaysia yang patriotik, tanpa mengira kaum, agama, atau daerah, tidak kira warga Malaysia yang menetap di dalam atau di luar negara,” katanya.

Kit Siang berkata, pertempuran di Gelang Patah pada PRU-13 boleh dianggap sebagai tembakan pembukaan bagi Pertempuran Impian Malaysia, iaitu satu perjuangan untuk menyatukan semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau daerah, ke dalam satu wawasan kebangsaan bersama dan ke arah membina sebuah negara Malaysia yang gagah, demokratik, bebas, selamat, berdaya saing, hijau, adil, berintegriti, menawarkan peluang saksama untuk semua rakyat, makmur dan membahagiakan semua warganya.

“Perjalanan masih panjang untuk kita menjelmakan Impian Malaysia – di mana semua warga Malaysia menumpahkan taat-setia tidak berbelah bagi kepada negara, berkongsi satu tanah air, dan bersatu sebagai satu bangsa untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat bersandarkan kepelbagaian kaum, agama, dan budaya yang lama bertapak di negara ini, agar Malaysia akan menjadi negara terulung di dunia dalam semua bidang kegiatan manusia.

“Mari kita menjadikan Impian Malaysia satu hakikat dengan mengembalikan hak asasi, seperti keselamatan di jalanan dan tempat awam dan persendirian, kepada semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau daerah,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan anda untuk menyertai Ejen Impian Malaysia dengan mengisi borang pendaftaran atau membuat pendaftaran secara online. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman Facebook kami di https://www.facebook.com/ImpianRakyatMalaysia