Berita

Tolak Pengerusi PAC Selangor, bukti BN tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Terbukti janji Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti hanya retorik semata apabila wakil rakyat mereka di Selangor bagi penggal kedua berturut-berturut enggan menerima tawaran sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Awam (PAC).

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua membidas tindakan wakil rakyat BN itu yang sekaligus mengenepikan usaha mereka untuk bertindak sebagai oposisi berkesan serta sentiasa membuat semakan dan imbangan pada kerajaan negeri.

Beliau turut mengkritik alasan yang diberi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, Datuk Shamsuddin Lias yang mendakwa tawaran itu bermotifkan politik.

“Tidak ada maknanya membuat pelbagai tuduhan liar terhadap kerajaan negeri Selangor tetapi enggan menerima jawatan itu apabila ditawarkan.

“Beliau harus tahu bahawa sebagai Pengerusi PAC, beliau mampu untuk menetapkan agenda untuk mesyuarat PAC, mengkaji dakwaan salah laku dan kontroversi, mendapatkan semua dokumen berkaitan dan menyiasat mana-mana pegawai yang terbabit termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaann Negeri,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya bukan setakat menggesa ADUN BN di Selangor menerima tawaran itu, juga menawarkan jawatan yang sama pada PR di Parlimen.

“Najib jelas takut jika PR memimpin PAC di Parlimen, kita akan lebih proaktif dan teliti dalam mendedahkan pelbagai penyelewengan, skandal dan rasuah dalam kerajaan. Beliau ternyata tidak serius apabila berbicara untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Najib perlu sedar bahawa beliau telah kehilangan 51 peratus kepercayaan rakyat pada
PRU-13 lalu. Ini disebabkan rekod buruk pimpinannya di dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

“Dengan menawarkan jawatan Pengerusi PAC untuk pimpinan PR, membuktikan beliau benar-benar serius memerangi rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya.

Pua berkata, tanpa mengira sama ada jawatan Pengerusi PAC Parlimen telah ditawarkan kepada PR, Najib perlu sekurang-kurangnya mengarahkan Shamsuddin menerima jawatan itu di Selangor untuk menjalankan peranannya sebagai oposisi yang bertanggungjawab.

“PR mendapati tidak ada sebab jelas mengapa BN menolaknya untuk penggal kedua, melainkan mereka tidak mahu menyokong ketelusan.

“Apakah beliau mahu menolak untuk menerima amalan dunia pertama ke arah Parlimen terbaik dengan pemimpin oposisi sebagai Pengerusi PAC.

“Jika begitu, bermakna rakyat sudah dapat melihat siapa sebenarnya tidak mengamalkan apa yang diucapkan. BN yang dipimpin Najib jelas hanya baik dalam lagu dan tarian semata tapi tidak bersungguh-sungguh dalam membuat transformasi sebenar,” tegasnya. -Roketkini.com