Rencana

Pojok: Anak Mami di Perantauan – Bila pulak DAP tolak TITAS?

LAMA juga saya garu kepala membaca komen Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kononnya tindakan DAP ‘menolak TITAS’ adalah usaha untuk mewujudkan ‘Islamophobia’.

Ini saya lihat sebagai satu kelemahan besar kepada pertubuhan belia Islam ini yang bukan sahaja tidak lagi beriya mengajak dialog demi meleraikan kekusutan, malah mengambil keputusan untuk menjatuhkan hukuman serta meletakkan label secara salah.

Semalam Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan dilaporkan portal berita The Malaysian Insider sebagai berkata bahawa “Usaha menolak subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) adalah gerakan mewujudkan Islamophobia yang cuba digerakkan segelintir pihak pembangkang bagi mendapat publisiti murahan.”

“Presiden (ABIM) itu berkata, ini dapat dibuktikan apabila DAP mendakwa pengenalan subjek TITAS di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pada September ini sebagai satu usaha indoktrinasi Islam kepada pelajar bukan Islam.”

Bila pula DAP tolak subjek TITAS ini? Melilau saya cari kenyataan sahih daripada sumber bahawa DAP tolak TITAS. Takkanlah begitu bodoh sekali DAP ini sehingga tak semena-mena mahu menolak pembelajaran akademik tentang tamadun.

Islamophobia apa pula yang DAP ini cuba anjurkan? Baru semalam DAP buat majlis berbuka puasa. Malah Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming turut berpuasa juga, siap bangun sahur lagi.

Ong Kian Ming juga akan menjadi ‘anak angkat’ di rumah keluarga Islam di Keramat hujung minggu ini, dalam usahanya untuk memahami kehidupan umat Islam di Malaysia.

Celah mana yang Islamophobia?

Barangkali Presiden ABIM patut membaca Deklarasi Shah Alam yang dengan terang jelas menyebut bahawa DAP memberi komitmen untuk ‘memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan’.

Kalau petikan pendek itu dirasakan kurang jelas, apa kata kita amati kenyataan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke tentang isu TITAS ini.

Dalam kenyataan media itu, Anthony berkata, DAP bertegas bahawa pemahaman terhadap kepelbagaian tamadun adalah sesuatu yang baik dan seharusnya digalakkan dalam sistem pendidikan negara. Malahan DAP juga sudah beberapa kali menganjurkan dialog ketamadunan berlainan (inter-civilisational dialogues) demi memupuk persefahaman dan rasa hormat-menghormati antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Meski menghargai usaha memperkenalkan subjek TITAS di IPTS, DAP berpendirian bahawa subjek itu seharusnya diperkenalkan sebagai subjek elektif dan bukannya subjek wajib.

Sebab apa? Sebab dari pandangan DAP, pendekatan untuk mewajibkan pembelajaran subjek ini memberikan satu gambaran yang negatif di kalangan pelajar bahawa mereka terpaksa menduduki subjek itu tanpa kerelaan.

Malah, pendekatan ‘memaksa’ seperti ini juga tidak akan menghasilkan unsur pemahaman dan nilai positif seperti yang diharapkan. Ini saya tahu. Ramai sudah anak mahasiswa yang ke kuliah belajar subjek TITAS dan memilih untuk duduk di belakang, supaya boleh tidur. Baca saja nota, kemudian masuk peperiksaan supaya lulus. Kalau ditanya balik apa yang dia belajar, tobat dia tak ingat.

DAP bukan sahaja tidak menolak pengajaran TITAS di peringkat universiti malah turut mencadangkan supaya pengajaran sejarah Tamadun Islam dan Asia diserap dalam sukatan mata pelajaran sekolah menengah.

Nah! Tak pening? Macam mana boleh ada pihak yang boleh main serbu tembok dan katakan DAP tolak TITAS dan menerap Islamophobia? Saya tak faham.

Namun biasalah, ada sahaja usaha pihak pendek akal yang kerjanya memutar belit kenyataan awal Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen mengenai isu itu dan kemudian memfitnah DAP kononnya menentang agama Islam. Pada bulan Ramadhan yang mulia ini pun masih ada usaha untuk menimbulkan fitnah yang mengarut.

Ketika syaitan terikat, syaitan yang dikenali dan bertopengkan manusia masih bebas berkeliaran menyebarkan fitnah demi memperlihatkan diri mereka sebagai wira.

Rugilah kalau itu yang dikerjakan ketika ada banyak lagi benda yang lebih penting yang boleh diusahakan. – Roketkini.com