Berita

DAP gesa reformasi sistem pendidikan, ekonomi atasi masalah pengangguran

601990_521700217901098_142761944_nBUKIT MERTAJAM, 13 OGOS: DAP menggesa kerajaan mereformasi dasar pendidikan dan dasar ekonomi agar penyelesaian yang lebih efektif dapat dicapai berhubung permasalahan ‘brain drain’, pengangguran dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) golongan muda negara.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata demikian merujuk kepada tema Hari Belia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini iaitu ‘Migrasi Belia: Memacu Pembangunan ke Depan’.

Beliau menegaskan kerajaan seharusnya memandang serius tiga isu besar itu yang ternyata menjejaskan negara.

“Tema Hari Belia Antarabangsa 2013 dipilih PBB kerana anak muda adalah antara kumpulan sosial yang banyak melakukan migrasi dan membentuk lebih 30 peratus daripada migran seluruh dunia.

“Kerajaan perlu sedar bahawa penyelesaian bagi masalah anak muda dalam bidang pekerjaan perlu berlaku pada peringkat dasar dengan menitikberat melaksanakan reformasi sistem pendidikan, menjaringkan pendidikan dengan pekerjaan, menyah-tagihkan (wean off) pergantungan ekonomi kepada tenaga buruh asing dan bukan sekadar menganjurkan pameran pekerjaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Laporan ‘Malaysia Economic Monitor: Brain Drain’ yang diterbitkan dengan kerjasama antara Bank Dunia dan Unit Perancang Ekonomi (UPE), satu daripada 10 rakyat Malaysia yang mempunyai kelulusan universiti berhijrah ke negara OECD. (SUMBER: http://www-wds.worldbank.org/external/default/WDSContentServer/WDSP/IB/2011/05/02/000356161_20110502023920/Rendered/PDF/614830WP0malay10Box358348B01PUBLIC1.pdf).

Terdahulu, kerajaan mendakwa kadar pengangguran berada ditahap rendah, iaitu sekitar 3-4%. Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar menyatakan bahawa negara mempunyai guna tenaga penuh menurut takrifan ahli ekonomi John Maynard Keynes.

Namun, pada mesyuarat Parlimen lalu, menurut jawapan Menteri yang sama, pengangguran anak muda yang berumur 15-24 tahun pada 2012 amat tinggi, iaitu 10.3 peratus, berbanding negara jiran seperti Thailand (2.8 peratus), Singapura (6.7 peratus), Jepun (8.0 peratus) dan Korea Selatan (10.1 peratus). Ianya menjadikan satu dalam 10 orang anak muda berumur 15-24 tahun, adalah penganggur.

Menurut Steven Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan, reformasi pendidikan akan melahirkan anak muda yang merdeka minda, berdikari, inovatif dan berfikiran kritis.

Katanya lagi, antara faktor utama anak muda tidak mendapat pekerjaan ialah kekurangan kemahiran bagi pekerjaan yang dipohon dan juga kemahiran ‘soft skills’

Justeru, langkah yang patut diambil adalah mengukuhkan lagi pendidikan aliran vokasional di semua peringkat dengan memberi kepada kualiti latihan yang ditawarkan, bukan hanya untuk mendapat segulung ijazah (gejala paper chase).

“Sistem pendidikan masa kini menjadi bahan komoditi yang diperdagangkan apabila hanya tertumpu kepada menggugur mereka yang tidak mampu lulus peperiksaan tidak kira apa alasan dan bukan berdasarkan prinsip pendidikan untuk membina modal insan menyeluruh.

“Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melahirkan hampir 200,000 siswazah setiap tahun. Jika hampir 40 peratus daripada mereka tidak mendapat kerja, ini bermakna kualiti pendidikan yang berasaskan ‘paper chase’, mengejar ijazah, tidak berguna sama sekali.

“Mentaliti ‘paper chase’ ini amat malang sekali kerana berlaku pada peringkat kepimpinan tertinggi sehingga ada Menteri yang didapati mempunyai ‘ijazah palsu’. Malaysia boleh merujuk kepada Jerman yang menjaringkan institusi pendidikan dengan sektor pekerjaan melalui program ‘meister’ (pakar pertukangan), anak muda dibayar elaun untuk belajar kemahiran tertentu dalam bidang terpilih,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan menyah-agihkan (wean off) pergantungan ekonomi kepada tenaga buruh asing.

“Pasaran kerja merupakan ‘pertandingan ke bawah’ atau ‘a race to the bottom’, di mana tiada persaingan dalam peningkatan gaji, kebajikan pekerja, peluang kenaikan serta peningkatan kemahiran dalam pasaran. Ini seterusnya menyebabkan persekitaran pekerjaan dan keadaan pekerja menjadi semakin mundur,” tegasnya. -Roketkini.com