Berita

DAP tubuh pasukan bertindak atasi krisis jenayah

teresa kokKUALA LUMPUR, 14 OGOS: DAP hari ini mengumumkan pelantikan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai ketua Crime Action Taskforce (CAT) bagi menggesa kerajaan menambah guna tenaga kerja pasukan polis untuk mengembalikan keamanan awam.

Ketika pengumuman perlantikan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata CAT ditubuhkan hasil dari kemerosotan kadar jenayah dalam negara yang semakin berkembang menjadi satu krisis besar tanpa kesudahan.

Beliau berkata, aktiviti jenayah telah memberikan kesan amat teruk bukan sahaja terhadap keselamatan peribadi malah mempengaruhi iklim sektor pelancongan dan perniagaan.

“Jawapan kepada masalah jenayah ini bukanlah dengan menghidupkan kembali undang-undang seakan EO, tapi dengan menambah jumlah kehadiran tenaga kerja polis di ruang awam serta kekuatan kakitangan dan sumber peralatan.

“Jadi DAP memutuskan untuk bertindak dengan melantik Teresa untuk mengepalai CAT bagi menggesa penambahan daripada hanya 9 peratus atau 10,150 daripada sejumlah 112,583 anggota di Jabatan Siasatan Jenayah (CID) kepada 50 peratus atau 56,000 anggota demi mengembalikan segera keamanan awam.

“Sebagai ketua CAT DAP, Teresa akan mengajak rakyat Malaysia untuk bersatu padu sebagai mangsa jenayah terhadap kelompok penjenayah yang merbahaya ini.”

Guan Eng yang juga Ahli Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan tindakan untuk menghidupkan semula undang-undang seumpama EO bukan jalan penyelesaian untuk membendung jenayah.

“Apalah yang susah sangat untuk membahagi semula kekuatan pasukan polis daripada melakukan tugasan tidak penting termasuk memantau dan menangani lawan politik kembali kepada tugas teras mereka iaitu membanteras jenayah yang semakin membuak?,” soalnya.

Ahli Parlimen DAP Bagan itu turut mengecam dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pemansuhan EO telah mengakibatkan seramai 260,000 penjenayah berkeliaran di jalanan.

“Jika Zahid benar-benar percaya dengan angka 260,000 penjenayah yang bebas itu, beliau seharusnya mengambil langkah segera untuk meningkatkan bilangan anggota polis.

“Jika 56,000 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah pun masih tidak mencukupi, mungkin Zahid patut memohon bantuan daripada Angkatan Tentera ataupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” tempelaknya.

Katanya lagi, pemansuhan EO tidak dapat menjelaskan bagaimana senjata api begitu mudah didapati sehinggakan hampir semua perompak di Malaysia dilengkapi senjata.

“Malah hukuman mati bagi kesalahan memiliki senjata api mahupun sebutir peluru masih belum dimansuhkan.

“Jika senjata begitu mudah diperolehi di saat hukuman mati masih berkuatkuasa, pemansuhan EO jelas sekali bukanlah penyebab kepada peningkatan kes jenayah berat. Hanya kehadiran terus menerus polis yang boleh menghalang penjenayah dan menurunkan kadar jenayah,” ujarnya.

Sebagai langkah awal, semua cawangan dan pusat khidmat DAP termasuk wakil rakyat akan menggantung kain rentang menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambah bilangan anggota polis di CID kepada 50 peratus. – Roketkini.com