Rencana

UMNO/BN berniat jahat, dengki kejayaan DAP Oleh Noor Jaafar

Black505UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh dianggap jahat dan dengki sebab itu parti yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini semakin kurang diminati termasuk oleh orang Melayu, Cina dan India.

UMNO/BN kekal memerintah negara hingga kini kerana mengamalkan ‘pecah dan perintah’ (divide and rule) kerana tidak senang hati dan tidak boleh tengok parti lain terus mendapat tempat dan sokongan rakyat, jadi ada saja usaha mereka untuk memusnah dan menghancurkan parti lawan sebagaimana yang dilakukan terhadap DAP.

Tindakan UMNO/BN itu membuatkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang kini menganggap DAP sedang berdepan dengan pergelutan yang akan menentukan hidup atau matinya parti itu apabila UMNO/BN memulakan kempen fasa ketiga ‘DDD’ untuk memusnahkan DAP.

Sebelum ini, PAS dan PKR turut mengalami nasib yang sama cuba dihancurkan UMNO/BN dengan pelbagai fitnah dan menakutkan orang ramai supaya parti berkenaan tidak mendapatkan sokongan rakyat.

PAS juga sudah beberapa kali dipujuk ‘bergabung’ dengan UMNO, kononnya demi perpaduan Melayu dan Islam dan setelah gagal memujuk PAS kini mereka (UMNO/BN) mengubah haluan cuba pula ‘memancing’ PKR untuk membentuk kerajaan perpaduan.

UMNO/BN sejak dulu menyusahkan parti lain

Memang perangai UMNO/BN sejak dulu lagi akan melakukan apa saja samada cara baik atau jahat asalkan parti itu dapat kekal berkuasa dan terus memerintah negara.

Satu ketika dulu UMNO/BN dikatakan memain perana mengurangkan pengaruh PAS sehingga terbentuk parti serpihan PAS iaitu Hamim dan Berjasa. PAS juga dikatakan turut menjadi mangsa penganiayaan UMNO/BN apabila lambang bulan bintang dilarang penggunaannya sehingga memaksa PAS kini menggunakan lambang bulan purnama.

Sekarang ini, DAP pula sedang diusaha oleh UMNO/BN untuk mengurangkan pengaruh dan sokongan rakyat selepas DAP mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Pada PRU-13 lalu, DAP memenangi 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara berbanding sebelum ini hanya 30 kerusi, manakala BN kini hanya tinggal 133 kerusi Parlimen berbanding 140 yang dimenangi ketika era penerajuan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada PRU-12 2008.

ini bermakna pencapaian Najib lebih buruk daripada Pak Lah dan ini yang membuatkan UMNO/BN tidak senang hati serta bimbang akan kehilangan kuasa memerintah pada PRU-14 nanti.

UMNO/BN tertekan selepas kekalahan teruk PRU-13

PIC ORG RAMAI (8)Kemenangan cemerlang DAP itu membuatkan UMNO/BN ‘dengki’ dan mencipta pelbagai kerenah dan fitnah yang ke arah memusnahkan DAP daripada arena politik Malaysia selepas MIC dan MCA tidak lagi berupaya membantu menguatkan BN seperti sebelum ini.

Kalau nak kira kesalahan DAP tidaklah seberapa sehingga membuatkan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang mengikut telunjuk UMNO/BN mengarahkan parti lawan itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) apabila ia tidak mengiktiraf pemilihan CEC yang diadakan pada Disember tahun lalu.

CEC DAP yang mengadakan mesyuarat tergempar Rabu lalu walaupun pahit terpaksa akur arahan ROS itu bagi mengelak parti itu kemungkinan dibatalkan.

Bagaimanapun, apa pun boleh berlaku kerana ROS juga terpaksa akur dengan arahan pemimpin politik atasan yang menguasai kerajaan BN.

DAP menganggap tindakan ROS itu tidak beretika dan menyalahi undang-undang kerana tidak menyatakan sebab dan alasan kukuh yang mereka tidak mengiktiraf pemilihan CEC Disember lalu dan mengarahkan diadakan pemilihan semula.

Keputusan itu membuktikan ROS lebih mempercayai pembohongan tidak berasas yang disebarkan media kawalan UMNO/BN seperti Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) serta seorang yang tidak wujud dikenali “Father Augustus Chen” berbanding pengesahan firma perakaunan bertauliah.

Pemfitnah UMNO/BN itu mendakwa seramai 753 delegasi dinafikan hak atau 547 perwakilan “hantu” menghadiri Kongres DAP di Pulau Pinang, Disember tahun lalu.

Kalau ROS boleh bertindak terhadap DAP, SUPP patut juga dikenakan tindakan terhadap pemilihan parti itu tahun lalu, bukannya mengamalkan double standard.

Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula membuktikan ROS tidak bebas dan mengikut telunjuk BN sedangkan permintaan DAP supaya dibekalkan aduan tidak dilayan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP sebenarnya boleh mengambil tindakan undang-undang untuk semakan kehakiman terhadap keputusan ROS yang jelas menyalahi undang-undang kerana melanggar Perkara 18A, 18B dan 18C Akta Pertubuhan 1966.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin tertinggi DAP bimbang memfailkan semakan kehakiman akan membolehkan ROS mengambil tindakan membatalkan pendaftaran parti walaupun menyalahi undang-undang.

Ini kerana pembatalan pendaftaran memberi risiko kepada parti untuk mendakwa ROS ke mahkamah, malah, kalau menang sekalipun kes itu, DAP mungkin terpaksa sekali lagi ke mahkamah untuk mengenepikan pembatalan pendaftaran parti yang sudah tentu mengambil masa berbulan atau bertahun untuk selesai.

Iri hati dengan kecemerlangan DAP

LGE - KarpalTindakan yang dikenakan terhadap DAP itu mungkin memuaskan hati UMNO/BN seolah dendam terhadap DAP terbalas selepas parti itu mencatat kemenangan bersejarah pada PRU-13 lalu serta menyumbang kepada Pakatan Rakyat memenangi undi popular 51% sehingga BN menjadi parti minoriti.

Memang tidak patut ROS mengenai tindakan sedemikian ke tas DAP sedang pemilihan CEC Disember tahun lalu adalah betul dan bersih kecuali gangguan komputer menyebabkan Zairil Khir Johari yang sepatutnya diumumkan menang bukannya Vincent Wu.

DAP menjelaskan sepenuhnya kesilapan itu secara jujur ​​kepada pegawai ROS dengan memberi semua bahan yang berkaitan tetapi dihukum kerana menyatakan yang jujur ​​dan benar.

Ini bermakna ROS lebih menggalak parti melakukan penipuan dan pembohongan daripada bersikap jujur, begitu juga dengan sikap UMNO/BN yang melakukan penipuan pada setiap pilihan raya umum dan rasuah pada pemilihan pemimpin parti.

Juru propaganda dan cybertrooper skuad ‘DDD (demonise/destroy DAP) telah melancarkan dua fasa serangan terhadap DAP sejak beberapa bulan lalu iaitu:

DAP berdepan perjuangan menetukan hidup mati parti

Pertama, menuduh DAP menaja “Tentera Kacang Merah” dengan peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk memburuk-burukkan pemimpin UMNO/BN; dan

Kedua, menyebarkan pembohongan mengenai pemilihan CEC DAP yang berlangsung pada Disember tahun lalu dan kemuncaknya menerbitkan risalah yang penuh pembohongan oleh seorang penulis rekaan bernama “Father Augustus Chen”.

Risalah itu antara lain mendakwa seramai “753 perwakilan (sebahagian besar berketurunan India)” tidak diberi notis mengenai Kongres DAP dan “543 perwakilan hantu (sebahagian besar dari Pulau Pinang)” telah mengundi dalam kongres berkenaan, pada hal kedua-dua dakwaan itu semata-mata bohong dan dusta.

Dalam kedua-dua fasa kempen ‘DDD’ itu, juru propaganda dan cybertrooper UMNO/BN mereka-reka dan mengitar semula ratusan pembohongan dan pendustaan mengenai DAP, khususnya dalam media kawalan UMNO/BN seperti Utusan Malaysia dan New Straits Times.

Kempen ‘DDD’ tidak berakhir atau berhenti walaupun DAP bersetuju mengadakan pemilihan semula CEC bagi menghalang ROS daripada terus menyalahgunakan kuasa demi memenuhi kehendak ‘tuan politik’ UMNO/BN, khususnya untuk menghalang DAP daripada dibubarkan.

Kempen ‘DDD’ UMNO/BN kini memasuki fasa ketiga yang lebih sengit apabila pembohongan dan pendustaan terus direka dan disebar sejak tiga hari lalu oleh Utusan Malaysia dan New Straits Times;

Perluasan wilayah operasi DDD bukan hanya menerusi media Bahasa Malaysia dan Inggeris malah kepada media bahasa Cina dan Tamil.

Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sendiri merestui kempen DDD apabila turut terbabit menyerang DAP dalam tempoh 48 jam setelah DAP memutuskan untuk mengadakan pemilihan semula CEC dengan mengulangi pembohongan mengenai DAP.

Najib mendakwa DAP bukan sebuah ‘parti politik yang berwibawa’ sebab itu gagal memberi notis kepada 753 perwakilan untuk menghadiri Kongres dan pemilihan CEC Disember tahun lalu dilakukan oleh 547 perwakilan hantu (sebahagian besar dari Pulau Pinang)”.

DAP kini berdepan ujian yang akan menentukan hidup atau matinya parti itu memandangkan batalion ‘DDD’ UMNO/BN kini sedang cuba menyempurnakan rancangan dan mengerah pasukan mereka untuk menguburkan DAP.Roketkini.com