Berita

DAP bantah tindas pelajar asing

ong kian ming 1PETALING JAYA, 20 OGOS: DAP mendesak Suruhanjaya Persaingan (MyCC) membubarkan syarikat yang disokong kerajaan iaitu Education Malaysia Global Services (EGMS) kerana memonopoli pakej perubatan kepada pelajar asing.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming berkata, EMGS telah menyalahguna kedudukannya dengan mengamalkan amalan anti-persaingan dalam sektor perubatan dan insurans apabila memaksa pelajar asing membeli hanya satu insurans iaitu AXA Affin.

“Dengan hanya menjadikan AXA Affin pembekal insurans perubatan kepada pelajar asing, EMGS memotong beratus ejen individu yang terbabit dalam perniagaan sama.

“EMGS juga melanggari Akta Persaingan 2010, apabila memonopoli klinik perubatan yang membuat pemeriksaan kesihatan dan insurans peribadi,  jadi saya menggesa ia dimansuhkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Selangor, hari ini.

EMGS ditubuhkan pada April 2012 untuk memasar, mempromosi dan menguruskan pelajar antarabangsa atau asing di Malaysia.

Seksyen 4 (1) Akta Persaingan 2010 menyatakan satu perjanjian mendatar atau menegak antara perusahaan adalah dilarang setakat mana perjanjian itu mempunyai matlamat atau kesan ketara menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan dalam apa-apa pasaran bagi barangan atau perkhidmatan.

Seksyen 10 (1) pula menyatakan perusahaan dilarang terbabit samada secara bebas atau kolektif dalam sebarang kelakuan berupa penyalahgunaan kedudukan dominan dalam mana-mana pasaran bagi barangan atau perkhidmatan.

Ejen insurans, Pee Che Yong yang turut hadir pada sidang media itu berkata, tindakan EMGS itu menyebabkan setiap ejen mengalami kerugian kira-kira RM30,000 setahun.

“Sejak pelaksanaan kerjasama eksklusif itu pada Februari lalu, semua ejen insurans kehilangan perniagaan serta-merta.

ong kian ming 2“Buat masa ini, lebih daripada 200 ejen terjejas dan berdasarkan surat pekeliling yang diedar Kementerian Pendidikan, mereka sudah mengembangkan monopoli itu ke pusat bahasa, sekolah swasta, sekolah antarabangsa, ia bakal memberi kesan kepada ramai orang,” ujarnya.

Katanya, masalah itu sudah dirujuk kepada MyCC, Persatuan Insurans Am Malaysia dan Kementerian Pendidikan sejak Januari lalu, namun tidak ada sebarang respon konkrit mengenainya diterima.

EMGS juga memaksa pelajar antarabangsa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mereka hanya di 62 klinik di seluruh negara.

Perjanjian itu menyaksikan Qualitas Medical Group mengaut keuntungan berjumlah RM22.5 juta setahun kerana setiap kos pemeriksaan perubatan bernilai kira-kira RM250.

Dalam pada itu, Kian Ming turut membidas tindakan memaksa pelajar asing membayar RM1,000 dalam pemprosesan Visa mereka, ditambah yuran pembaharuan tahunan RM140 tanpa peningkatan dalam kecekapan perkhidmatan.

“Janji untuk mengurangkan pelajar masa pemprosesan visa daripada enam hingga lapan minggu untuk hanya 14 hari di bawah EMGS tidak menampakkan sebarang hasil.

“Hasil peningkatan kos dan kelewatan pemprosesan visa pelajar, ia membuatkan pelajar asing mendapati Malaysia bukanlah tempat menarik sebagai destinasi untuk melanjutkan pelajaran. Jadi ini bertentangan dengan hakikat EMGS ditubuhkan untuk menarik lebih ramai pelajar asing belajar di negara ini,” tegasnya. -Roketkini.com