Berita

DAP pertikai tindakan polis tembak mati lima lelaki di Pulau Pinang

cb4b0d451113dbf36a505a5KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Kes anggota polis menembak mati lima lelaki oleh anggota polis di Sungai Nibong, Pulau Pinang, 19 Ogos lalu perlu disiasat secara menyeluruh.

Ketua Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata, kes itu perlu disiasat secara terperinci kerana ia mendapat bantahan awam termasuk keluarga mangsa.

“Pihak polis mesti mengambil kira apa yang mereka lakukan. Jika mereka tidak dapat menerangkan mengapa tembakan itu dilakukan, mereka perlu menghadapi akibatnya.

“Mereka (polis) mempunyai kuasa besar menggunakan senjata api tetapi tidak bermakna mereka boleh mengguna dengan sewenangnya tanpa had. Dalam kes di mana tangkapan boleh dibuat tanpa perlu menembak, pembunuhan seperti itu tidak boleh dibenarkan.

IMG_9927“Kami juga menyeru Peguam Negara memberi jaminan kepada orang ramai bahawa akan ada siasatan terbuka dan tidak menutup kes itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Puchong dalam kenyataan, semalam.

Dalam kejadian pagi Isnin lalu, polis menembak mati lima lelaki yang sedang tidur di tingkat 11 Pangsapuri Century Bay kerana disyaki penjenayah.

Keluarga kelima-lima mangsa berang dengan kematian itu dan menegaskan polis sepatutnya menangkap dan mendakwa mereka ke mahkamah.

ADUN DAP Seri Delima, RSN Rayer yang juga seorang peguam baru-baru ini turut mempertikaikan tindakan polis itu.

“Masih terdapat tiga kes seperti itu tidak dapat diselesaikan, dan kini satu lagi baru berlaku. Kami akan memohon agar bedah siasat kedua secara bebas dilakukan.

“Keluarga dua mangsa juga menyatakan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan jika ada sekalipun mereka sepatutnya disoal siasat terlebih dahulu bukan terus ditembak mati,” katanya. -Roketkini.com