Berita

DAP mahu kerajaan perjelas kos ambil alih sistem saman lalulintas AES

1006215_556352987754378_116291858_nPETALING JAYA, 22 OGOS: DAP menyeru pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberitahu rakyat jangkaan kos yang terlibat dalam pengambilalihan operasi dan penguatkuasaan Automated Enforcement System (AES).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, penjelasan harus diberikan agar rakyat dapat mengetahui sama ada pengambilalihan itu satu bentuk ‘bail out’ bagi menolong syarikat-syarikat kroni yang tenat dari segi kewangan.

“Soalan ini munasabah kerana pernah dilaporkan sebelum ini bahawa kedua-dua syarikat pengendali AES, iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Automated Traffic Enforcement System (ATES) Sdn Bhd didesak oleh bank-bank kerana gagal membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual akibat ditimpa masalah aliran tunai jutaan ringgit.

“Rakyat juga diberitahu bahawa mengikut kontrak yang ditandatangani dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kedua-dua syarikat ini harus menyediakan perkhidmatan kepada unit penguatkuasaan JPJ secara berterusan tanpa gangguan sejak bulan September tahun 2012 sehingga tamat tempoh lima tahun kontrak di mana penyerahan peralatan akan dilakukan.

“Lebih-lebih lagi, apabila kerajaan persekutuan berkali-kali telah mengatakan bahawa pelaksanaan sistem AES ini langsung tidak melibatkan wang kerajaan, kami bimbang kerajaan sekarang perlu mengambilalih operasi dan penguatkuasaan AES ini dengan kos,” kata beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor dalam kenyataan, hari ini.

Laporan dari portal berita, Free Malaysia Today sebelum ini memaparkan bahawa sebuah bank komersil terkemuka telah mengambil tindakan membeku akaun salah sebuah syarikat itu apabila gagal membuat bayaran balik pinjaman. Juga dilaporkan bahawa Beta Tegah dan ATES telah berusaha untuk mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan JPJ tentang masa depan projek itu berikutan masalah kekangan aliran tunai.

Selain itu, carian di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Beta Tegap sedang menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM7.62 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.

Lau menegaskan kerajaan tidak boleh berdiam diri dan mengelak dari menjawap soalan ini, jika tidak ianya pasti sengaja dilakukan bagi membolehkan dua syarikat kroni mereka itu terselamat.

“Ini telah menimbulkan banyak tanda soal, sama ada pengambilalihan kedua-dua buah syarikat pengendali AES ini bertujuaan untuk menyelamatkan mereka akibat terdesak oleh bank untuk membayar balik pinjaman?,” soalnya. -Roketkini.com