Berita

Kempen “Segalanya Mungkin” Najib bermula dengan bebaskan polis yang terlibat dengan pembunuhan Altantuya, kata Kit Siang

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan membebaskan dua anggota polis yang terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebagai pelancaran awal kempen Endless Possibilities (Segalanya Mungkin) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menegaskan, pembebasan itu merupakan sebahagian dari tiga serangan yang dilancarkan kerajaan kepada pihak oposisi demi untuk menjayakan agenda kempen Najib termasuk memaksa DAP membuat pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan meluluskan tayangan filem Tanda Putera.

kg orang seletar or orang laut (2)“Hari ini, penjenamaan baru Najib melalui ‘Segalanya Mungkin’ menunjukkan kesannya sebelum dilancarkan secara rasmi bulan depan dan telah menjadi ungkapan kegemaran rakyat apabila Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan untuk membebaskan Pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Ketua Inspektor, Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

“Sebelum ini, ‘Segalanya Mungkin’ memasuki satu fasa baru apabila menggunakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memaksa DAP mengadakan pemilihan semula CEC tanpa mengemukakan sebarang sebab mengapa mereka tidak berpuas hati dengan pemilihan Disember lalu.

“Ianya jelas adalah agenda berterusan kempen DDD UMNO untuk memburuk dan memusnahkan DAP,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah turut menyelar tindakan kerajaan membenarkan penayangan filem Tanda Putera yang memaparkan adegan seorang pemuda Cina kencing dihadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, walhal tidak ada fakta atau bukti sejarah menunjukkan kejadian seperti itu berlaku.

“Walaupun ia adalah sebuah filem cereka, ia menunjukkan kemuncak sikap tidak bertanggungjawab apabila menggambarkan kejadian kencing dalam filem rasmi yang dibiayai kerana boleh mencetuskan kesangsian antara kaum, perbalahan dan kebencian, sekaligus membawa kemudaratan kepada usaha-usaha pembangunan negara, terutama disaat negara akan menyambut tahun ke 56 kemerdekaan.

“Tidak ada dalam fakta sejarah, sama ada gambar atau dokumentasi termasuk Kertas Putih yang dikeluarkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 9 Oktober 1969 yang bertajuk ‘Tragedi 13 Mei’ atau di dalam buku Tunku Abdul Rahman ’13 Mei – Sebelum dan Selepas’ menunjukkan insiden kencing, ini adalah khayalan imaginasi yang paling keji dan dusta kepada masyarakat berbilang kaum,” tegasnya.

Najib dijangka melancarkan kempen `Segalanya Mungkin’’ pada 17 September, sehari selepas menyambut Hari Malaysia yang ke-50. Kempen itu merupakan penjenamaan baru kepada kempen ‘1Malaysia’ yang tidak mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Jadi rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada ketiga-tiga insiden seperti dinyatakan adalah contoh apa yang Najib maksudkan dengan ‘Segalanya Mungkin’’ untuk penjenamaan semula pentadbiran beliau?,” soal Kit Siang. -Roketkini.com