Rencana

Merdeka Bukan Slogan Oleh Aishah

malaysian flag

TAHUN ini kebetulan kita menyambut hari raya pada bulan kemerdekaan. Setidaknya, Ramadhan lalu mengajar kita mengenai cara menghargai kesenangan diri dan paling penting tidak melupakan kesusahan orang lain dalam menjalani hidup.

Setelah itu, kesedaran disimpan baik dan bakal diambil semula pada Ramadhan akan datang. Mengapakah demikian? Ini terjadi disebabkan ramai menyambut kedatangan Syawal melebihi kemampuan diri sekali gus melupakan kesedaran yang mungkin tercapai dalam bulan Ramadhan itu iaitu kesederhanaan, keharmonian dan keseimbangan.

Begitupun, kemerdekaan kali ini berdekatan dengan Aidilfitri, ia mengingatkan kita sekali lagi akan satu hal iaitu kebebasan. Tema kebebasan ini juga ada pada bulan Ramadhan, seperti mana kita diajar untuk membebaskan diri daripada perasaan marah, nafsu serakah, dan sikap kita seperti lazimnya hari-hari biasa.

Jika pada hari biasa kebanyakan kita mengumpat dan mengeji jiran di belakang rumah (kecuali pada Jumaat kerana dinasihatkan tidak boleh menipu pada Jumaat), pada bulan Ramadhan mereka ini tadi akan berlumba merebut fadilat solat sunat Terawih.

Di samping tidak melupakan telekung yang dihias labuci yang akan dipakai di masjid nanti. Syawal kemudiannya disambut dengan menziarahi mereka yang sudah tiada dan setibanya di rumah, bersusunlah anak-anak untuk mendapatkan duit berwarna hijau, merah, biru atau ungu.

Ada satu hal yang kebanyakan kita terlepas pandang – bila bergema takbir raya – kebebasan daripada mentaliti kelas ketiga. Apa yang diertikan dengan mentaliti kelas ketiga? Mudahnya, sikap orang tidak bertamadun (barbaric) atau sikap orang tidak sekolah (baca: sekolah dalam erti simbol pengetahuan bukan institusi).

Misalnya, di ceruk kampung terdapat sekumpulan budak yang sudah bersedia dengan baju dan sepatu baru untuk berjalan mengutip duit raya dari rumah ke rumah. Kegembiraan ini turut dirasai tuan rumah yang memberi duit dalam sampul dengan logo bank atau gambar ketupat.

sampul duit raya 1Pemberian seperti ini biasanya disertakan sekali menjamu tetamu dengan makan dan minum. Atas ini semua, ia mengajar kita saling berbagi samada dalam bentuk material (duit, makanan) atau bukan-material (kasih sayang).

Amat malang, jika amalan seperti ini tidak dihayati, sebaliknya budak terpaksa menahan telinga daripada kata-kata “mereka datang nak duit je tu”, “nak masuk rumah ke nak duit?” – akhirnya budak-budak ini dibiarkan berpanas tanpa dipelawa seteguk air dan dilayan seperti pengemis meminta sedekah yang diberi duit dari luar pagar.

Ini antara contoh mentaliti kelas ketiga yang ketara didapati di bandar besar, dengan rumah dan kereta besar. Sungguhpun, Malaysia dikenal sebagai antara negara dengan menara tertinggi, litar lumba terbaik, bunga terbesar, kawasan arkeologi tertua, tetapi tidak lama untuk kita mengenal Malaysia juga punya masyarakat dengan pekerti terburuk.

Hanya menjadi makhluk yang cukup makan dan pakai untuk melepaskan dirinya sahaja, paling buruk menjadi objek modenisasi. Tidak cukup dengan itu, mentaliti ini juga menghinggapi mereka yang diberi didikan sehingga ke menara gading, sama ada sistem pendidikan kita berasaskan keuntungan bukan kemanusiaan, itu adalah satu perbincangan lain.

Raya adalah kesempatan untuk mendekatkan hubungan yang jauh daripada kesibukan kota, bukan dijadikan sebagai hari syaitan gemuk seperti dalam majalah Asuh yang menjadi tumpuan zaman kanak-kanak.

Oleh itu, Malaysia tidak hanya dikenal dengan konvoi Sultan Johor, tetapi juga konvoi beraya beramai-ramai daripada setiap hierarki sosial. Jika pada bulan Ramadhan, adanya solat sunat berjemaah setiap malam, Syawal dengan semangat yang sama (habluminannas) dimeriahkan dengan konvoi ke rumah rakan terdekat.

Tetapi ini juga dicemari mereka dengan mentaliti kelas ketiga, tidak sedikit daripada kalangan kita yang memanfaatkan ruang ini untuk mencari perbezaan, membesarkan diri atau memalukan diri sendiri dengan kebodohan.

Ternyata, kerendahan hati yang pada asalnya diraih pada bulan puasa kian menipis dengan gelagat moden masyarakat sekarang.

Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, penjajah pernah mengatakan Melayu itu malas sehingga diwajarkan beban orang putih – sama seperti stigma yang cuba diletakkan Mahathir ketika kekuasaannya.

kampungMalangnya, manusia moden yang dicipta skema penjajahan terdahulu dilihat tidak lari jauh daripada robot, hanya tahu makan dan kerja, instagram dan check-in. Inilah belenggu “watak tertawan” (captive mind) yang masih mengikat setelah 56 tahun merdeka. Jika pada satu waktu, petani, penoreh getah, nelayan di desa dihina kerana menghabiskan baki waktunya di warung (setelah bangun awal pagi membanting tulang empat kerat), ini nyata lebih baik daripada manusia moden sekarang yang hanya bercakap pada gajet canggih, ketawa pada kotak besar di rumah atau pejabat, dan tidur dengan harapan “esok dapat gaji”.

Anehnya manusia moden ini, mereka gemar memuat gambar makanan dalam instagram berbanding berkongsi juadah dengan jiran sebelah rumah. Memuat naik gambar angpau di facebook daripada memberi kepada anak yatim yang tiada ibu ayah untuk diberikan duit raya.

Adalah satu tragedi, apabila kemerdekaan kali ini juga disambut seperti hari merdeka yang sudah iaitu tidak berupaya membebaskan diri sendiri. Kemerdekaan seharusnya bukan slogan tahunan tetapi makna yang harus direbut dalam perlakuan kita sehari-hari.

Kemerdekaan juga bukan pelekat Gila-Gila yang dilekat pada buku, atau pencil box daripada sarung video tape. Kemerdekaan bukan lagu Sudirman. Kemerdekaan bukan pada bendera yang dikibar di kereta proton atau rumah kos rendah. Kemerdekaan tercapai apabila tiada lagi manusia yang hidup dan kehidupannya dijajah. – Roketkini.com