Rencana

Memenangi hati dan minda Melayu – Paradigma baru Oleh T. K. Tan

IMG_4305“KITA tidak boleh lagi hanya mengharapkan dengan muncul sekali dalam masa empat atau lima tahun ke sesuatu kawasan itu dengan mengadakan ceramah, dan lawatan, untuk memenangi hati mereka!” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puzi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang memberi pandangan mengenai cara memenangi hati pengundi Melayu di kawasan luar bandar.

Katanya, antara yang menjadi kebuntuan utama Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dalam usaha menawan Putrajaya ialah ketidaksediaan kaum Melayu untuk berubah, khasnya luar bandar.

Ketika di temuramah, Tengku Zulpuri menjelaskan betapa perlunya mengubah pendekatan yang sedia ada untuk menawan kubu kuat BN, khasnya di kawasan luar bandar yang majoriti penduduknya Melayu.

“Pendekatan kita terhadap kaum Melayu perlu lebih sistematik dan terancang. Kita perlu melaburkan masa dan tenaga untuk mendampingi dan menawan hati pengundi Melayu luar bandar, contohnya kunjungan takziah kematian, perkahwinan atau aktiviti gotong royong.

“Sebolehnya, calon bagi kawasan yang majoriti Melayu hendaklah dikenal pasti awal dan diamanahkan untuk memulakan gerak kerja di sesuatu kawasan. Ia memerlukan masa dan tumpuan dalam bergerak di kawasan Melayu luar bandar,” jelasnya.

“Panduan politik orang Melayu luar bandar ini sudah lama dipengaruhi media kawalan UMNO. Adakah dengan kunjungan dan berkempen sekali dalam lima tahun mampu mengubah persepsi negatif mereka terhadap DAP yang dibentuk media BN ini selama lima tahun lalu?” katanya.

Beliau juga menceritakan pengalaman di kawasannya.

“Calon lawan saya adalah seorang veteran MCA yang sudah bertapak di Mentakab. Beliau tidak terpalit dengan skandal; tambahan pula beliau kerap melawat penduduk Melayu di sini sebab itu beliau agak dikenali masyarakat Melayu di Mentakab.

“Tidak hairanlah mengapa saya kalah di kawasan Melayu walaupun saya orang Melayu.

“Tidak cukup sekadar mengadakan ceramah maka dirasakan kerja kita sudah selesai; kerana yang hadir ceramah adalah penyokong tegar PR atau orang yang sama juga,” kata Tengku Zulpuri.

Mengenai isu bagaimana DAP dan Pakatan Rakyat mampu mengubah mentaliti masyarakat Melayu, terutamanya Melayu luar bandar yang masih sangsi dengan Pakatan Rakyat, khasnya DAP, beliau berkata, persepsi kaum Melayu luar bandar terhadap suasana politik di mana sokongan kuat kaum Cina kepada PR khasnya DAP dilihat sebagai menggugat dominasi Melayu dalam kancah politik Malaysia.

“Ini boleh dirungkai jika ada penerangan yang berterusan dan kena pada tempatnya.

“Kita perlu menerangkan kepada pengundi Melayu berulang kali yang jika DAP menang semua kerusi Parlimen yang ditandingi sekalipun, ia tidak mampu membentuk kerajaan secara bersendirian atau menguasai kerajaan PR.

“Hakikatnya, jikalau DAP menang semua kerusi yang ditandinginya sekalipun, parti bukan Melayu seperti MCA, MIC dan Gerakan saja yang kalah. Maksudnya hanya satu atau yang lain; tidak timbul kemungkinan DAP bergabung dengan MCA untuk memerintah Malaysia berseorangan.

“Begitu juga dengan kaum Cina yang hanya membentuk majoriti kira-kira 50 kerusi Parlimen sahaja,” jelasnya lagi.

Beliau juga berpendapat masyarakat Melayu perlu mengimbas kembali situasi pada 1999 di mana majoriti Melayu bersedia untuk berubah, tetapi kaum bukan Melayu tidak.

Katanya, sekarang pengundi Melayu harus melihat keputusan yang ada, kerana kekuatan DAP ada pada jentera pilihan rayanya yang lebih terancang dan berkesan berbanding parti PR yang lain.

Beliau juga berpendapat situasi yang PR sedang alami sekarang adalah suatu hakikat untuk mendorongnya supaya lebih berusaha menawan hati pengundi Melayu sedangkan hakikatnya kaum Cina sudah sedia berubah tetapi Melayu belum, ia bukan alasan untuk berputus harapan.

“Kami di PR juga patut bersyukur kerana masih menguasai Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Dengan negeri ini kami masih mempunyai model pentadbiran baik yang boleh ditunjukkan kepada pengundi negeri kawalan BN,” jelas beliau lagi.-Roketkini.com