Berita

Akaun Facebook palsu: Diyana Sofya buat laporan polis, SKMM

NUSAJAYA, 13 OKTOBER: Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud hari ini membuat laporan di Balai Polis Mutiara Rini Nussajaya berhubung satu akaun Facebook palsu beliau yang dikenalpasti aktif sejak tiga minggu lalu.

Beliau juga membuat laporan mengenai pemalsuan Facebook itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Dyana Sofya, akaun palsu Facebook itu menggunakan identiti beliau dengan gambar dan namanya serta berinteraksi dengan lebih 250 teman atas talian.

“Ini adalah satu penyalahgunaan identiti oleh pihak yang tidak saya kenali dan saya juga tidak pasti niat sebenar pemilik akaun berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau hanya berinteraksi dengan orang ramai dan teman seperjuangan melalui akaun Facebook ‘MP of Gelang Patah Office’.

“Saya berharap orang ramai tidak salah faham atau terpedaya dengan akaun Facebook palsu ini dan jika anda mahu berinteraksi dengan saya, boleh ke laman Facebook MP of Gelang Patah’s Office,” ujar Dyana Sofya.

Dalam masa yang sama beliau turut memohon maaf jika timbul sebarang kekeliruan dan kesulitan berhubung insiden yang berlaku. – Roketkini.com