Rencana

Pesan Ibn Khaldun Mengenai ‘Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)’? Oleh Ibn Yusof

APABILA Malaysia berhasrat melakukan penstrukturan baru terhadap sistem cukai dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dapat dilihat pelbagai reaksi dan pandangan diberikan oleh lapisan masyarakat.

Langkah ini dicadangkan kerajaan bertujuan menyusun semula sistem percukaian negara supaya lebih berkesan, saksama, efisien dan telus.

Secara umumnya, ramai yang  terpesona dengan fakta bahawa kadar GST yang dicadangkan adalah serendah 4% dan ia lebih rendah daripada kadar cukai jualan (5% dan 10%) dan cukai perkhidmatan (5%) yang dikenakan pada masa sekarang.

Namun hakikatnya, rakyat marhaen sedar, bahawa langkah ‘kurang popular’ yang terpaksa diambil kerajaan ini demi menjamin kestabilan ekonomi negara bagi jangka masa panjang disebabkan kadar hutang negara atau lebih tepat, hutang kerajaan berada pada paras yang semakin tenat apabila terus melambung tinggi dan tidak setanding dengan pendapatan yang dinikmati negara. Ini bukan lagi rahsia apabila negara saban tahun membentangkan bajet defisit.

Justeru dalam menelusuri penggubalan Dasar Percukaian Negara ini, khususnya dengan memperkenalkan GST, tulisan ini mengajak pembaca membaca dengan mengetepikan politik partisan dan melihatnya daripada aspek keadilan sosial. Tertarik dengan istilah ‘Ekonomi yang Manusiawi’, yang merupakan daripada satu bab daripada buku Anwar Ibrahim bertajuk Gelombang Kebangkitan Asia, ketika membincangkan aspek percukaian, penulis ada merujuk kepada buah fikiran seorang pemikir Islam yang besar dan pendahulu kepada fikiran ekonomi moden, yang bernama Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun (1332-1406M).

Ibn_Khaldoun-KassusAbdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun atau lebih dikenali dengan Ibn Khaldun, dalam karya agungnya Muqaddimah (hanya pengenalan kepada kitab al-‘Ibar), banyak membincangkan pendekatan yang menarik dalam mengamati dasar cukai oleh sesebuah negara.

Pemahaman beliau dalam isu cukai ini merangkumi dilema dasar fiskal yang terpaksa dihadapi oleh pemerintah, yakni bagaimana sebuah pemerintahan boleh mengutip pendapatan yang tinggi dengan memberikan beban yang paling kecil kepada rakyat. Itulah antara perkara yang dibincangkan beliau, masalah kurang atau banyaknya kutipan cukai, yang boleh menjadi penentu jatuh bangun sebuah empayar pemerintahan. Semuanya bermula dengan keperluan dan ketelusan sesuatu tampuk pemerintahan dalam menetapkan kadar cukai kepada rakyat, adapun kehendak rakyat itu lebih jelas, bahawa kutipan yang diambil daripada rakyat diberikan kepada rakyat (dalam erti kata mengukuhkan dan memajukan negara) sehingga rakyat benar-benar merasai nikmat hasil cukai yang dibayar daripada hasil usaha mereka, bukannya untuk perut pemerintah. Diingatkan isu ini apabila beliau menulis:

“Hasil cukai akan dikembalikan kepada semua rakyatnya. Kekayaan mereka sebagaimana lazimnya, adalah didapati daripada perniagaan dan kegiatan perdagangan. Apabila pemerintah itu membelanjakan wang untuk rakyatnya, ia akan teragih di kalangan mereka, dan akan kembali semula kepada pemerintah, dan sekali lagi daripada pemerintah kepada mereka” (hlm.428).

Bagaimana agaknya rakyat boleh menyambut baik penggubalan sistem cukai yang baru sekiranya sejarah sistem cukai (sedia ada) tercatat angka yang tidak munasabah apabila wujud pembayar cukai individu (untuk kategori ‘top bracket’) atau lebih tepat kelompok kaya yang bolos dan berjaya lari daripada tanggungjawab membayar cukai. Dan golongan bangsawan ini tidak pula dikenakan tindakan, hal ini menunjukkan dasar cukai negara tidak mempunyai asas yang kuat. Justeru bagaimana aspek sosial bagi rakyat majoriti boleh diketepikan begitu sahaja dengan membiarkan golongan bangsawan ini terlepas? Benarlah kata Ibn Khaldun:

“Ketidakadilan itu dapat dilakukan oleh orang yang tidak boleh disentuh, oleh orang yang ada kuasa dan berkuasa. Dengan demikian, ketidakadilan dikecam hebat dan, ancaman yang berulang-ulang terhadapnya disuarakan dengan harapan bahawa mungkin orang yang berupaya melakukan ketidakadilan ini akan menemui pengaruh membendungnya di dalam dirinya sendiri” (hlm.352).

Beliau juga ada menyebut bagaimana punca salah pengurusan pemerintah dalam menguruskan pendapatan hasil negara, boleh mengakibatkan kepada pengenalan bentuk-bentuk atau jenis-jenis cukai yang baru, dicatatkan bahawa:

“Sesebuah Kerajaan akan mengalami kesulitan kewangan, sebagaimana yang telah dinyatakan dahulu, disebabkan oleh kebiasaan hidup mewah, dan atas pertimbangan perbelanjaannya, dan kekurangan pendapatan hasil daripada cukai untuk membayar keperluan-keperluannya. Ia memerlukan lebih banyak wang dan hasil yang lebih banyak”(hlm.337).

Pengenalan kepada jenis cukai baru mungkin bertitik tolak bukan sahaja daripada pengurusan perbelanjaan yang tidak berhemat oleh pemerintah, tetapi juga akibat sektor awam yang telah menggelembung menjadi raksasa sehingga tidak mampu lagi dikawal oleh pemerintah:

ekonomi-pertumbuhan-121218b“Dengan demikian, pemerintah harus mencipta suatu bentuk cukai yang baru. Dia mengenakan cukai itu dalam urusan perdagangan. Pemerintah mengenakan cukai terhadap harga di pasar dan barang yang diimport di pintu kota. Pemerintah terpaksa melakukannya kerana rakyat dimanjakan oleh elaun yang banyak dan disebabkan oleh bertambahnya bilangan anggota tentera dan anggota pertahanan awam. Cukai yang dikenakan semakin bertambah pada tahun-tahun terakhir negara. Perniagaan semakin merosot kerana hasrat untuk mendapatkan laba telah musnah, membuka laluan kepada berakhirnya peradaban dan mencerminkan status negara itu. Keadaan begini menjadi lebih buruk, hingga negara itu tidak lagi dapat dikendalikan” (hlm.337).

Dan apabila sesuatu cukai itu dikenakan di setiap peringkat pengeluaran baik daripada pengilang, pemborong dan peruncit hinggalah kepada pengguna, akhirnya rakyat akan merungut akibat kenaikan harga barang yang perlu ditanggung mereka akibat cukai dalam harga barangan. Manakala di suatu sudut lain pula, pemerintah dilihat hidup bermewah-mewah. Ibn Khaldun memberi amaran bahawa hal ini merupakan satu daripada dua petanda kepada kehancuran bagi sesebuah tampuk pemerintahan:

“Hal ini adalah selari dengan keborosan dalam perbelanjaan. Mereka yang berpengaruh dalam kerajaan telah bertindak penuh kemegahan, dan saling menonjolkan kekayaan apabila mereka bersaing dalam hal makanan, pakaian, kediaman yang tersergam, senjata yang lebih baik dan dalam menyimpan sahaja kuda-kuda itu di kandangnya. Pada masa ini pendapatan negara adalah terlalu sedikit untuk menampung perbelanjaan, dan elemen kedua kehancuran yang menimpa kerajaan ialah melalui wang ringgit dan percukaian. Kelemahan dan kehancunan adalah diakibatkan oleh kedua-dua elemen itu” (hlm.367).

Sikap kesederhanaan dan berpatutan dalam masalah penetapan dan kutipan cukai sangat penting mengikut pandangan Ibn Khaldun. Beliau berpendapat bahawa sebab utama kemunduran dan kehancuran sesebuah negara adalah berpunca daripada terlalu beratnya beban cukai yang dikenakan kepada pembayar cukai. Atas sebab itu Ibn Khaldun menggunakan surat yang merangkumi pesanan mencatat surat yang ditulis oleh Tahir bin al-Husayn untuk anaknya, Abdullah bin Tahir, yang dilantik oleh khalifah al-Ma’mun untuk menjadi gabenor di al-Raqqah dan Mesir dan daerah antara keduanya, dalam sebuah pernyataan: “Buatlah kajian dan pertimbangan dengan teliti mengenai masalah cukai ini dan janganlah anakanda memunggut dan mengambil lebih daripada kadar yang mampu ditanggung oleh rakyat jelata. Jangan pula meletakkan suatu beban yang rumit dan sukar dipikul. Oleh itu, terimalah bayaran yang mereka berikan dengan penuh pertimbangan iaitu dengan suatu kadar yang mereka tidak merasa berat tetapi mereka senang hati untuk membayarnya” (Menurut Franz Rosenthal, hanya wujud sedikit perbezaan berdasarkan nukilan Ibn Khaldun terhadap petikan surat ini daripada Ibn Abi Tahir mahupun Imam Tabari).

masalah-ekonomi-newsinfopediaOleh itu, tatkala pendapatan negara dilihat kian meningkat saban tahun, perbelanjaan pembangunan dalam negara juga dilihat meningkat dan ini terserlah terutama apabila terdapat kelompongan dalam rang undang-undang dalam belanjawan kerajaan, yang mengakibatkan berlakunya kekerapan pembentangan ‘Supplementary Supply Bill’ di peringkat Parlimen. Setelah kepincangan dalam urusan hasil mahsul negara, Kerajaan kemudiannya pada hujung tahun membentangkan pula Belanjawan yang menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan rakyat dengan alasan untuk memantapkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Walaupun ramai ahli ekonomi bersetuju dengan pelaksanaan cukai baru seperti GST yang dirasakan relevan untuk dilaksanakan di Malaysia, namun sebelum penstrukturan cukai melalui GST dilaksana, beberapa kepincangan seperti ketirisan dalam belanjawan kerajaan dan kegagalan menaikkan pendapatan perkapita rakyat mestilah diutamakan, pada ketika itulah masa yang difikirkan sesuai untuk dilaksanakan GST. Kerajaan seharusnya perlu memberi lebih perhatian mengenai bagaimana meningkatkan taraf hidup rakyat. Kerana kesannya, matlamat jangka pendek kerajaan untuk menaikkan pendapatan negara melalui GST boleh menyebabkan rakyat yang perlu melalui kesannya terhadap kenaikan inflasi dan semestinya yang terkesan atas kadar inflasi ini nanti ialah golongan pertengahan dan yang berpendapatan rendah.

Jika semua hal yang disebutkan ini tidak diambil serius, sesebuah kerajaan perlu bersedia untuk berhadapan dengan hujah catatan Ibn Khaldun yang mengatakan tempoh pemerintahan sebegini akan tumbang, dan pemerintahan baru akan mengambil alih.-Roketkini.com