Berita

Tolak pemimpin khianat, ada agenda peribadi – DAP Sabah

KOTA KINABALU, 21 OKTOBER: Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin mahu semua ahli dan pemimpin DAP negeri itu terus berpegang pada prinsip perjuangan parti dan menolak sikap mementingkan diri sendiri.

Pada masa sama beliau menggesa pimpinan negeri itu terutama wakil rakyat yang baru diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu agar memberi tumpuan kepada tugas sebenar mereka berkhidmat kepada rakyat.

“Pilihan raya sudah selesai, sekarang masa kita kerja untuk rakyat,” katanya.

Ketika diminta megulas peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Dr Hiew King Cheu, beliau berpendapat Hiew mempunyai agenda politiknya sendiri.

“Kita ingin tegaskan bahawa beliau tidak dipinggirkan seperti yang didakwa.

“Beliau telah menjadi calon di DUN Luyang malah diberi jawatan sebagai Penasihat DAP Negeri,” jelas Wong.

Menurutnya, tindakan Hiew keluar daripada parti amat tidak wajar dan paling menyedihkan beliau dilihat sebagai wakil rakyat bebas yang mesra Barisan nasional (BN).

“Sebelum ini (Hiew) begitu kuat mengkritik BN tapi bila keluar DAP dia macam sokong pula. Ini yang kita angat hairan. Apa agenda beliau?

“Kalau beliau benar-benar jujur, mesti letak jawatan ADUN juga dan adakan pilihan raya kecil,” kata Wong.-Roketkini.com