Berita

Felda diminta justifikasi harga sebenar hotelnya di London: Guan Eng

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER: Felda mesti menjustifikasikan harga terinflasi bagi hotelnya di London yang berharga RM500 juta sehingga membayar lebih RM100 juta dan mengingkari satu daripada dorongan utama Pelan Transformasi Ekonomi Kerajaan Persekutuan supaya menjual aset bukan teras.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sebuah portal internet hari ini melaporkan bahawa jual beli Felda bernilai £97.9 juta (RM495 juta) bagi Grand Plaza service apartment 198 unit di Bayswater, London adalah terlalu mahal sedangkan ejen hartanah mewah Savills and Knight Frank menilai hartanah berkenaan sekitar £80 (RM408 juta) sahaja beberapa tahun lalu.

Katanya, ini bermakna Felda terlebih bayar hampir RM100 juta!

“Ini membimbangkan jika terdapat sebarang keadaan ekonomi merudum akan menyebabkan firma Malaysia berkaitan kerajaan (GLC) yang membeli hartanah di London pada harga terinflasi akan mengalami kerugian berpuluh ribu pound dana awam.

“Felda tiada kepakaran atau pengetahuan mendalam mengenai bidang perhotelan. Sehingga kini, kedua-dua Felda dan kerajaan Persekutuan enggan menjelaskan bagaimana Felda ingin memperoleh keuntungan melampaui kos pelaburan RM500 juta hotelnya di London,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guang Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau membangkitkan perkara ini di Parlimen Isnin lalu, tetapi kerajaan enggan menjawab bagaimana Felda akan dapat memperoleh kadar pulangan tinggi untuk menampung kos pelaburan selain mengatakan bahawa nilai pasaran hotel London itu meningkat sehingga 115 juta pound berbanding pelaburan awal bernilai 98 juta pound walaupun tidak dikemukakan bukti bahawa nilai pasaran hotel London itu meningkat kepada 115 juta pound.

Beliau berkata, kekurangan pengetahuan mendalam dan kepakaran mengurus untuk menjalankan perniagaan adalah asas kepada polisi penjualan ETP.

Katanya, begitu selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, beliau terkejut terkejut melihat kerajaan negeri dan anak syarikatnya begitu terbabit dengan aktiviti bukan teras di mana ia langsung tidak ada kepakaran seperti menguruskan ladang kelapa sawit, ladang getah, menternak ikan, perhotelan, institusi pengajian malah kelab golf dan semua perusahaan yang tidak difikirkan dengan baik itu menjana kerugian.

“Melalui sebuah polisi penjualan dan penyumberluaran menggunakan tender terbuka, kerugian operasi tahunan yang begitu hebat ini akhirnya berubah menjadi keuntungan setiap tahun. Begitu pun kerugian operasi ini dapat ditukar menjadi keuntungan kerana hartanah terbabit sudah dimiliki kerajaan negeri atau dengan kata lain, tiada perbelanjaan modal (capital expenditure) terbabit.

“Dengan perbelanjaan modal sebanyak RM500 juta oleh Felda, adalah tidak mungkin Felda dapat menjana keuntungan, keuntungan akan menjustifikasi kos pelaburan, sebab ini, pemimpin BN tidak sepatutnya menggunakan wang rakyat seperti milik persendirian tetapi mesti memberi justifikasi tentang faedah kewangan pelaburan bisnes bukan teras kepada rakyat, demi prinsip akauntabiliti dan ketelusan,” katanya.-Roketkini.com