Berita

Isu lembu korban: “Sudah tiba masa dialog antara agama diperluas”-Tengku Zulpuri Shah

MENTAKAB, 23 OKTOBER: Negeri-negeri yang di tadbir Pakatan rakyat (PR) diseru menggalakkan lagi dialog antara agama demi menyemai persefahaman yang lebih mendalam terhadap satu dengan lain untuk mengelak timbul kekeliruan dan kemarahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji ketika diminta mengulas mengenai isu penyembelihan lembu korban di Sekolah Kebangsaan Puchong Jaya baru-baru ini, berkata beliau cuba memandang isu yang timbul ini daripada sudut positif kerana apa yang berlaku mampu mematangkan persefahaman.

“Tidakkah Allah menjadikan manusia itu berkaum-kaum, berbeza kepercayaan supaya mereka mengenali antara satu sama lain?” katanya sambil mengakui bahawa isu ini telah mencetuskan kontroversi.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam menangani masalah ini, tanggungjawab tidak hanya terletak di bahu pemimpin masyarakat atau politik tetapi ia mesti dididik di peringkat prasekolah lagi.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia diberi pendidikan dan kefahaman yang lebih menyeluruh mengenai kepelbagaian agama dalam negara ini. Ini adalah keunikan kita di Malaysia,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu.

Sehubungan itu, Guru Besar sekolah terbabit Mohd Amin Bahari berkata, cadangan untuk melakukan ibadah korban di sekolah itu telah dibincangkan terlebih dahulu bersama semua guru termasuk yang bukan Islam.

Katanya, pihak sekolah telah memaklumkan kepada guru dan pelajar berketurunan India serta bukan Islam lain untuk dipisahkan daripada ritual korban itu.

“Kami tidak membenarkan mereka melihat,” kata Mohd Amin dalam satu rakaman perbualan.-Roketkini.com