Berita

SPRM gagal banteras rasuah, Malaysia negara paling korup di dunia – Ko Chung Sen

KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Kampar, Ko Chung Sen mengecam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gagal menyiasat dan membanteras rasuah dalam negara walaupun diberi peruntukan berbilion ringgit.

Beliau berkata demikian berikutan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low pada persidangan Parlimen, 21 Oktober lalu yang menyatakan jumlah rasuah dalam tempoh lima tahun lalu adalah sebanyak RM57.698 juta dan jumlah yang berjaya diperoleh semula hanya RM17.083 juta.

“Daripada angka yang diberi, ini menunjukkan kerajaan menghabiskan hampir RM1 bilion untuk membanteras rasuah sejak Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

“Daripada sejumlah 1,692 kes disiasat antara 2009 hingga Jun 2013, hanya 75 peratus kes atau sebanyak 1,274 kes yang disabitkan kesalahan.

“Walaupun didapati ada peningkatan peruntukan bajet dan kakitangan dalam tempoh tiga tahun, jumlah kes yang didakwa dan disabitkan sebenarnya menurun. Apakah SPRM tidak menjalankan tugas? Mengapa jumlah pengamal rasuah yang disabitkan kesalahan begitu sedikit sedangkan jumlah wang yang didapati begitu besar sekali?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau lagi, Global Financial Integrity (GFI) turut melaporkan sebanyak RM871.4 bilion hilang di Malaysia sekitar 2001 hingga 2010, walhal mencegah rasuah adalah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan kerajaan pada 2010.

“Retorik Najib dalam ucapannya di Kelab Komanwel, San Francisco untuk menjadikan masalah rasuah di Malaysia sebagai ‘isu lalu’ terbukti tidak membawa sebarang makna.

“Satu kaji selidik baru-baru ini oleh Earnest & Young dan The Wall Street Journal juga menyatakan bahawa satu daripada negara paling korup didunia adalah Malaysia,” ujarnya. -Roketkini.com