Berita

Bajet 2014: Wanita terabai, diskriminasi gender terus melebar

KUALA LUMPUR, 29 OKTOBER: DAP membidas tindakan kerajaan yang tidak memberi tumpuan terhadap agenda memperkasakan wanita hingga menyebabkan jurang gender di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semakin melebar.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen DAP Lanang, Alice Lau dalam kenyataan bersama mereka berkata, walaupun skim memperkasakan wanita disebut dalam bajet kerajaan baru-baru ini dan dalam Rancangan Malaysia (RMK) sejak 1980an, ia dilihat masih tidak mampu membendung diskriminasi gender yang semakin parah.

Memetik laporan World Economic Forum (WEF) 2013, Sim berkata, Malaysia yang berada di tangga ke-96 dalam indeks jurang gender dunia pada 2008 kini merudum kepada kedudukan ke-102 di kalangan 136 negara.

“Walaupun kerajaan memperuntukkan bajet yang lebih tinggi untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebanyak RM2.2 bilion pada 2014 berbanding RM1.9 bilion pada 2013, sebahagian besar daripada peruntukan itu pergi kepada orang miskin dan organisasi.

“Ia jelas menunjukkan bahawa kementerian memilih untuk sekadar memberi tumpuan kepada aktiviti kebajikan bukannya memperkasakan golongan wanita.

“Mengapa tidak ada inisiatif memperkasa wanita? Walhal jika dilihat dalam RMK-10, seramai 86.3 peratus daripada 155,600 wanita menganggur disebabkan faktor perbezaan pendapatan, kekurangan peluang dan halangan persekitaran kerja,” katanya, semalam.

Menurut Alice, Bajet Responsif Gender yang dimulakan kementerian dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 2003 juga gagal dan tidak mendapat banyak tarikan untuk merapatkan jurang perbezaan sedia ada.

“Tidak ada strategi sistematik untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita yang terbantut kira-kira 46 hingga 47 peratus dalam 23 tahun lalu sejak 1990 dengan sasaran 55 peratus pada 2015 seperti ditetapkan RMK-10.

“Kami berharap kerajaaan akan menangani budaya diskriminasi ini dalam masyarakat kita, di mana wanita dilayan seperti warganegara kelas kedua dalam politik dan ekonomi,” tegasnya yang juga Penolong Setiausaha Organisasi Wanita DAP Kebangsaan.

Menurut mereka, Bajet 2014 juga mengabaikan jaringan keselamatan sosial untuk suri rumah, berbeza daripada Bajet Alternatif Pakatan Rakyat yang mencadangkan perkara itu.

“RM600 setahun akan disumbang kepada suri rumah dan disokong oleh sumbangan daripada pasangan sekurang-kurangnya RM129 sehingga RM1,200 setahun,” katanya.

Dalam pada itu, Alice turut menyelar penarikan subsidi dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tentunya akan menjejaskan isi rumah berpendapatan rendah. -Roketkini.com