Berita

Naik harga bahan mentah, laksana GST bukan cara bantu rakyat miskin – Tan Hong Pin

WIRA8253KLUANG, 1 NOVEMBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mengkibol, Tan Hong Pin menggesa kerajaan memikirkan langkah berkesan membantu rakyat miskin yang semakin ditindas dengan kenaikan harga barang menerusi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memikirkan langkah bijaksana meningkatkan dana bagi membantu kumpulan atau warga tertindas dan terancam selepas melaksanakan pelbagai tindakan yang tidak perlu malah membebankan rakyat.

“Dalam Bajet 2014, kerajaan memotong subsidi gula, melaksanakan GST mulai April 2015 dan langkah lain yang tidak realistik dalam konteks membantu rakyat miskin.

“Saya tidak nampak manfaatnya selain mengakibatkan masyarakat miskin yang terpinggir atau tercicir daripada pembangunan ekonomi sosial semakin tertekan dan menerima kesan melalui kenaikan harga minyak dan pelaksanaan GST nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada warga miskin yang berpendapatan kiurang daripada RM1,000 di Taman Delima, Kluang, Johor, semalam.

Seramai 100 keluarga miskin di Kluang terutamanya Taman Muhibbah, Taman Delima, Taman Titiwangsa, Taman Kluang Barat, Taman Desa dan Taman Intan menerima bantuan itu.

Bantuan berupa barangan keperluan asas seperti minyak, makanan, beras dan sedikit pemberian peribadi daripada Pejabat DUN DAP Mengkibol.-Roketkini.com