Berita

Kenaikan cukai taksiran: DBKL diseru tangani bantahan secara telus

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangani segera pelbagai bantahan mengenai kenaikan cukai taksiran yang dihantar penduduk melalui email atau faks.

Beliau berkata, walaupun Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib menyatakan bantahan yang dihantar melalui email atau faks ini akan mempercepat dan memudahkan proses, namun sia-sia jika tidak diselenggara dengan baik.

“Beberapa hari lalu, seorang penduduk mendakwa sudah menulis di dalam laman sosial, Facebook, menyatakan beliau sudah membuat bantahan melalui email tetapi kemudian menerima mesej, peti masuk sudah penuh. Jadi bagaimana DBKL selesaikan masalah ini?

“Jika DBKL tidak mengakui penerimaan surat bantahan yang dihantar melalui email atau faks, bagaimana orang yang membuat bantahan itu boleh membuktikan penyerahan surat bantahan? Adakah DBKL akan mengatakan ia tidak pernah diterima?

“Dan jika DBKL memutuskan untuk mengeluarkan akuan penerimaan melalui email, faks atau surat, adakah mereka boleh memastikan rakyat akan dimaklumkan sebelum tarikh akhir iaitu 17 Disember ini supaya bantahan yang tidak diakui penerimaannya boleh dikemukakan semula,” soalnya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, berkata rakyat yang ingin mengemukakan bantahan terhadap kenaikan yang dicadangkan dalam nilai tahunan hartanah perlu membuat bantahan bertulis secara individu sebelum tarikh akhir mengikut Seksyen 142 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Jelasnya, Seksyen 142 (2) akta yang sama juga menyebut, semua bantahan harus disiasat dan pembantah perlu diberi peluang untuk didengar bantahannya secara sendiri atau melalui ejen.

“Ini bermakna, setiap orang yang membuat bantahan mempunyai peluang untuk membentangkan kes dalam satu siasatan yang ditubuhkan DBKL,” ujarnya. -Roketkini.com