Berita

SJKT Gunung Rapat, Perak, mangsa terbaru janji manis BN

KUALA LUMPUR, 29 NOVEMBER: Janji manis Barisan Nasional (BN) untuk membina bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat, di Perak, kini hanya tinggal janji, hingga sekarang ia masih tidak ditunaikan.

BN sebelum ini menabur janji untuk menggantikan bangunan sekolah itu yang berusia hampir 60 tahun di atas tapak yang hanya berkeluasan 0.4 ekar.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar dan Ahli Parlimen PKR Gopeng, Dr Lee Boon Chye pada sidang media bersama setelah menerima memorandum daripada enam wakil ibu bapa sekolah terbabit di Parlimen, semalam.

Sivakumar berkata, ia menjadi tanda tanya mengapa kerajaan tidak membinanya sedangkan setiap tahun Kementerian Pendidikan diberikan peruntukan besar.

“Isu sekolah ini bukan isu baru, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menjanjikan tapak sesuai ketika sambutan Deepavali hampir tiga tahun lalu.

“bagaimanapun hingga sekarang tidak ada apa yang dilakukan. Bangunan sedia ada yang terletak dalam kawasan yang sangat kecil dan hanya mempunyai enam bilik darjah.

“Dengan bangunan begitu, ia tidak mampu menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah selain tidak mempunyai kelengkapan asas seperti padang untuk aktiviti bersukan, perhimpunan pula terpaksa diadakan di tempat letak kereta,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Menurut Boon Chye pula, walaupun sebidang tanah seluas 2.5 ekar diluluskan kerajaan negeri, namun sehingga kini tiada tanda-tanda bangunan sekolah itu akan dibangunkan walaupun Muhyiddin sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

“Ini janji sebelum pilihan raya, malangnya sampai hari ini, satu batu bata bagi mendirikan sekolah itu pun tidak ada.

“Pemindahan itu penting dan sangat diperlukan segera, kementerian sudah berjanji, bila lagi nak tunaikan,” soalnya.-Roketkini.com