Rencana

Strategi 12 mata, pelan induk PR tawan Putrajaya pada PRU-14 – Oleh Lim Kit Siang

KELMARIN, saya mengemukakan soalan samada Pakatan Rakyat (PR) sanggup bangkit menyahut cabaran bagi menentukan masa depan bukan saja Sabah dan Sarawak, malah Malaysia secara keseluruhan pada PRU-14 nanti.

Kenyataan saya sebelum ini menjelaskan menerusi fakta dan angka bahawa ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP, PKR dan PAS telah mencapai keputusan terbaik peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan untuk suatu tempoh berjaya menguasai lima negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak menerusi kerjasama ketiga-tiga parti itu pada Pilihan Raya Umum 1999, 2008 dan 2013.

Hari ini, saya ingin membentangkan strategi 12 mata untuk PR sebagai pelan induk untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

1. Komitmen penuh dan segera oleh ketiga-tiga parti iaitu DAP, PKR dan PAS di peringkat kebangsaan, negeri, dan bahagian untuk meningkatkan sokongan orang ramai sepanjang tempoh empat tahun akan datang terhadap usaha PR membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-14.

Ketiga-tiga parti dalam PR iaitu DAP, PKR dan PAS di semua peringkat, pusat, negeri, bahagian dan semua sayap – pusat, pemuda, wanita perlu memberi komitmen penuh dan padu sepanjang empat tahun mendatang untuk meningkatkan sokongan dan keyakinan orang ramai terhadap usaha PR untuk membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-14.

Perkara ini perlu menjadi agenda bersama dalam semua mesyuarat DAP, PKR dan PAS di semua peringkat dan sayap daripada sekarang sehingga menjelang PRU-14 untuk meningkat dan memaksimakan keupayaan politik dan jentera pilihan raya PR ke arah menawan Putrajaya pada PRU-14, selain meningkatkan sokongan dan keyakinan orang ramai terhadap matlamat politik ini.

Konvensyen DAP Negeri yang akan diadakan sepanjang tempoh enam minggu ini, bermula dengan Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hujung minggu ini, adalah kesempatan terbaik untuk melaksanakan perkara pertama dalam strategi 12 mata pelan induk PR untuk menawan Putrajaya pada PRU-14 nanti.

2. Memastikan persempadanan semula dilakukan seadil mungkin

Persempadan semula yang bakal diadakan boleh dianggap sebagai perkembangan politik terpenting yang akan membentuk dan mempengaruhi keputusan PRU-14.

Buat kali pertama dalam sejarah, persempadanan semula akan membabitkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Buat kali pertama juga dalam sejarah, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan persempadanan semula dilakukan sekehendak hati mereka.

Selain itu, PR mempunyai majoriti dua pertiga di dalam dewan undangan negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor dan lebih daripada satu pertiga kerusi DUN di Kedah, Terengganu, Perak, dan Negeri Sembilan.

Bererti jumlah kerusi di peringkat Persekutuan dan di negeri berkenaan tidak boleh ditingkatkan tanpa sokongan dan persetujuan PR.

PR perlu memastikan persempadanan semula dilakukan seadil yang mungkin daripada segi pengagihan kerusi antara negeri agar selari dengan prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai” dan pada masa yang sama mengakui keadaan unik Sabah dan Sarawak.

Prinsip satu orang, satu undi, satu nilai ini juga perlu dipatuhi dalam setiap negeri untuk kerusi Parlimen dan DUN.

Mekanisme paling berkesan untuk memastikan persempadanan semula dilakukan secara telus ialah dengan membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Persempadanan Semula.

3. Sasarkan kawasan yang gagal dipertahankan dalam PRU-13

PR berjaya menambah tujuh lagi kerusi Parlimen pada PRU 2013 berbanding PRU 2008 (89 daripada 82 kerusi), namun kita gagal mempertahankan 15 kerusi Parlimen yang kita menangi pada PRU 2008.

Sekiranya kerusi berkenaan berjaya dipertahankan, PR mampu mengumpul 104 kerusi. Jumlah ini masih belum mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, tetapi ia mampu menempatkan PR dalam kedudukan lebih kukuh.

Dengan itu, PR perlu menetapkan sasaran merebut semula kerusi yang gagal dipertahankan pada PRU-13 iaitu Padang Terap, Pendang, Sik, Merbok, Baling dan Kulim-Bandar Baharu di Kedah; Ketereh, Tanah Merah dan Machang di Kelantan; Balik Pulau di Pulau Pinang; Bagan Serai di Perak; Hulu Selangor dan Kuala Selangor di Selangor; dan Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Strategi yang bertumpu kepada kerusi dan negeri diperlukan untuk merebut semula semua kerusi terbabit. Sebagai contoh, pecah undi perlu dikurangkan di Ketereh, Tanah Merah dan Machang. Di ketiga-tiga kawasan ini, undi untuk PR di peringkat negeri lebih daripada undi untuk BN, tetapi PR kalah di ketiga-tiga kerusi Parlimen.

Di Kedah, barisan pembangkang yang berkesan, barisan pemimpin yang boleh diharapkan sebagai barisan bakal pentadbir kerajaan baru serta dasar negeri alternatif diperlukan untuk membolehkan PR merampas semula negeri itu.

4. Sasarkan kerusi/kawasan marginal (yang majoriti undi tipis)

PR juga perlu mensasarkan kerusi/kawasan yang dimenangi BN dengan majoriti undi yang tipis pada PRU 2013. BN memenangi 24 kerusi Parlimen pada PRU 2013 dengan jumlah undi kurang daripada 55% (tidak termasuk 15 kerusi yang disebutkan di atas dan dimenangi PR pada PRU 2008). Antara kerusi yang dimaksudkan adalah Cameron Highland (majoriti undi 462), Bentong (379), Sungai Besar (399), Labis (353) dan Pasir Gudang (935), semuanya dimenangi BN dengan majoriti undi kurang daripada 1,000.

5. Pertahankan kerusi/kawasan yang baru dimenangi pada PRU 2013

PR memenangi 15 lagi kerusi Parlimen di Semenanjung pada PRU 2013. Kita tidak boleh membuat andaian bahawa semua kerusi ini akan berjaya dipertahankan PR pada PRU-14 nanti.

Penekanan perlu diberikan terhadap kerusi ini, khususnya kerusi yang dimenangi dengan majoriti undi tipis, agar kita tidak mengulangi pengalaman PRU 2013 di mana kita gagal mempertahankan sejumlah kerusi yang kita menangi pada pilihan raya umum sebelum itu. Antara kerusi yang memerlukan perhatian khusus adalah Kuala Nerus (majoriti 610), Sepang (1,142) dan Batu Pahat (1,524).

6. Pertahankan kerusi marginal PR
Seperti BN, PR juga mempunyai kerusi marginal. PR memenangi 17 kerusi Parlimen dengan majoriti kurang daripada 55% (tidak termasuk kerusi baru yang disebutkan di atas). Semua kerusi ini perlu dipertahankan, khususnya Bachok (majoriti 201) dan Bukit Gantang (986). Jika PR mensasarkan kawasan di mana BN lemah, pasti BN juga akan melakukan perkara yang sama bagi kawasan di mana PR dianggap goyah.

7. Tonjolkan negeri PR sebagai contoh betapa PR mempunyai gaya pentadbiran yang berbeza berbanding BN

Kerajaan negeri PR mengambil pendekatan dan gaya pengurusan yang jauh berbeza daripada kerajaan BN yang memerintah sebelumnya, khususnya di Pulau Pinang dan Selangor. Ini adalah aset besar PR. Bermula daripada sekarang sehingga menjelang PRU-14, PR perlu meningkatkan prestasi di negeri yang dikuasainya untuk menonjolkan lagi perbezaan antara kerajaan BN dan kerajaan PR, selain memberi bayangan kepada orang ramai mengenai bentuk kerajaan Persekutuan di bawah PR.

8. Berikan penekanan kepada kawasan luar bandar

Tidak dapat disangkal bahawa PR telah mendapat undi besar di kawasan bandar pada PRU-13. Kekuatan BN/kelemahan PR di kawasan luar bandar membolehkan BN kekal berkuasa. Untuk itu, PR perlu mempunyai strategi yang mantap untuk menembusi kawasan luar bandar, khususnya kawasan/kerusi marginal BN.

Kos sara hidup dijangka akan meningkat berikutan pengurangan subsidi, tarif elektrik dan harga minyak dijangka naik, pelaksanaan GST pada 2015 akan memberi kesan meluas – semua ini adalah peluang yang boleh digunakan PR untuk menjelaskan kepada pengundi luar bandar bagaimana kerajaan BN meningkatkan beban kewangan dan mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna mereka.

Pengundi luar bandar hanya akan menyokong PR dan menolak BN jika mereka merasakan kesan buruk kerajaan BN terhadap saku mereka sendiri. Ini perlu menjadi satu daripada strategi utama PR untuk menjangkau kawasan luar bandar.

9. Strategi tumpuan di Sabah dan Sarawak

Kerusi yang disebutkan di atas (kerusi marginal BN dan PR) adalah kerusi di Semenanjung. PR berdepan cabaran berbeza di Sabah dan Sarawak, maka pendekatan yang berbeza perlu digunakan untuk kedua-dua negeri ini.

PR tidak boleh memandang ringan sokongan terhadapnya di kawasan bandar Sabah dan Sarawak. Empat daripada sembilan kerusi yang dimenangi PR di Sabah dan Sarawak pada PRU-13 adalah kerusi marginal – Sarikei (majoriti 5,050), Sibu (2,841) dan Miri (1,992) di Sarawak dan Sandakan (1,008) di Sabah. Semua kerusi ini perlu dipertahankan secara agresif.

PR juga perlu mensasarkan kerusi marginal BN. Empat kerusi Parlimen di Sarawak yang dimenangi BN dengan undi kurang daripada 55%. Satu daripadanya Baram yang dimenangi dengan majoriti 194 undi. Di Sabah, BN memenangi 10 kerusi Parlimen dengan undi kurang daripada 55%, antaranya Beaufort (majoriti 672) dan Kota Marudu (842).

Bagaimanapun, tidak seperti di Semenanjung, PR di Sabah dan Sarawak perlu menangani parti tempatan.

Majoriti pengundi menunjukkan bahawa mereka menganggap PR lebih boleh diharapkan sebagai alternatif bagi BN berbanding parti tempatan, namun parti ini masih boleh bertindak sebagai ‘pengganggu’ dan menarik sejumlah undi untuk menggagalkan usaha PR memenangi sebahagian kerusi berkenaan.

PR perlu mencari jalan lebih baik untuk bekerjasama dengan sebahagian parti tempatan terbabit, sekurang-kurangnya mengelak pertembungan tiga penjuru, khususnya kerusi marginal BN.

Daripada segi program luar bandar, kempen Impian Sarawak dan Impian Sabah yang baru dilancarkan akan membawa masuk beberapa projek pembangunan kecil di kawasan luar bandar. Ini boleh digunakan sebagai contoh untuk PR menyusun strategi luar bandar. Jika berjaya, projek terbabit perlu dilaksanakan di banyak kawasan yang mungkin, khususnya di kawasan/kerusi marginal BN.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan datang akan menjadi medan terbaik untuk menguji keberkesanan strategi yang bertumpu kepada Sarawak.

Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 membuka ruang baru untuk PR, khususnya di kawasan bandar, dan ia membolehkan PR mencapai keputusan lebih baik pada PRU 2013.

Perkara yang sama boleh berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sarawak berikutnya. Jika PR berjaya menembusi kawasan luar bandar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, ia akan memberi tekanan kepada BN dan Taib Mahmud serta memberi kelebihan kepada PR pada PRU-14.

10. Tingkatkan kerjasama PR di semua peringkat

Kerjasama PR telah berkembang sejak kerjasama antara parti pada 2008. Di peringkat kebangsaan, Majlis Presiden PR sentiasa bertemu untuk membincangkan isu penting. PR kini meluluskan tiga belanjawan alternatif dan membentangkan manifesto bersama menjelang PRU-13. PR juga bertempur bersama dalam banyak pilihan raya kecil sebelum dan selepas PRU-13.

Kerjasama ini perlu ditingkatkan di semua peringkat, khususnya di negeri seperti Johor, Sabah, dan Sarawak yang tidak mempunyai sejarah kerjasama antara parti yang panjang.

Kenyataan bersama boleh dikeluarkan pemimpin negeri PR menegnai isu nasional dan isu yang penting bagi sesebuah negeri. Kegiatan rentas parti perlu diadakan lebih banyak.

Setiap parti boleh memanfaatkan kekuatannya untuk membuka pintu kepada pemimpin parti komponen yang lain.

Pada masa yang sama, PR perlu menguruskan perselisihan dalaman antara parti komponen di peringkat kebangsaan dan negeri. Mekanisme perlu dikenal pasti di peringkat kebangsaan dan negeri untuk menangani perselisihan secara dalaman sebelum ia diperbesarkan media, khususnya saluran media yang dikawal BN.

11. Beri penekanan kepada hubungan antara dua generasi pemimpin

Satu daripada kekuatan terbesar PR ialah menggabungkan pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda di peringkat negeri dan kebangsaan. Ini berbeza dengan barisan pemimpin BN yang kebanyakannya terdiri daripada generasi lama dan lebih terbiasa dengan pendekatan politik lama.

PR perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatan ini untuk meningkatkan kredibilitinya. Pemimpin berpengalaman memelihara keseimbangan dan kesinambungan, manakala pemimpin muda membangkitkan buah fikiran, idealisme dan dinamisme generasi muda.

Jika kedua-dua lapisan pemimpin ini digabungkan dengan baik, ia akan menjadi adunan yang sukar untuk dihadapi BN.

12. Patahkan pembohongan dan propaganda BN

Satu daripada senjata berkesan yang digunakan BN menjelang PRU-13 ialah ‘gertakan’ yang menunjukkan bahawa Melayu di negara ini akan hilang hak di bawah kerajaan PR.

Pengundi ditakut-takutkan dengan DAP dan pemimpinnya dilemparkan dengan bermacam tuduhan, antaranya pemimpin DAP dituduh Komunis, mahu membentuk negara Kristian, anti-Islam dan anti-Melayu. Propaganda ini lebih jelas dilihat pada media arus perdana Melayu, iaitu Utusan Malaysia dan stesen televisyen TV3 dan RTM.

PR mula berusaha membasmi semua pembohongan dan propaganda yang disebarkan BN menerusi media sosial dan online. Tetapi masih banyak yang perlu dilakukan. Lebih banyak mesej kreatif dan saluran diperlukan untuk memadamkan kebimbangan sejumlah besar Melayu dan meyakinkan mereka bahawa hak dan kehidupan mereka tidak akan merosot di bawah PR sebaliknya akan menjadi lebih baik.

Rumusan

Jika PR mampu menangani setiap satu cabaran yang digariskan di atas, saya yakin ia akan berada dalam kedudukan yang baik untuk menawan Putrajaya pada PRU-14 dengan setiap parti menyumbangkan kekuatan masing-masing dan meningkatkan daya tarikan PR secara umum.-Roketkini.com

Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Johor