Sastera

Sepucuk surat untuk seorang anak – Oleh Aliff Fikri

ANAKKU, izinkan ayahmu ini memohon seribu maaf. Sepertinya ayahmu ini adalah orang yang selalu lalai dan alpa untuk sentiasa berada di sisimu. Seorang ayah yang hanya mampu kau temui lewat malam dan hujung minggu. Mungkin ayah adalah seorang tua yang hanya pandai membebel dan kedekut memberi wang saku.

Mungkin, ayah juga tidak berupaya membelikanmu sekotak permainan Lego baru, apatah lagi membawa kamu berjalan-jalan di Legoland, membeli konsol playstation atau telefon bimbit iPhone seperti yang dimiliki rakanmu serta membawa kamu ke ‘happy land somewhere’.

Mungkin, ayah tidak berkemampuan untuk memiliki kereta mewah buatan luar negara dan menghantarmu ke sekolah dengan kereta seperti itu. Mungkin ayah tidak ada rumah empat tingkat dengan kolam renang besar, halaman luas dan ruang tamu dilengkapi pelbagai peralatan canggih.

Tapi yakinlah anakku, ayah hanya ingin kau tahu, semua yang ayah lakukan hanya kerana kasih padamu. Ayah tidak ingin melihat kau kelaparan, sebab itu ayah bekerja hingga lewat malam supaya kau dapat tidur dengan perut kenyang.

Anakku, kau harus tahu, ayahmu ini bekerja siang malam dengan bersungguh-sungguh dan susah payah adalah semata-mata untukmu, ayah hingga saat ini masih berdepan hutang pinjaman PTPTN yang sudah bertahun masih tidak dapat dilangsaikan, ditambah dengan harga barangan keperluan yang saban hari makin meningkat naik akibat pelaksanaan cukai GST.

Harga bahan bakar RON95 dan sewa rumah yang mencanak selepas DBKL menaikkan cukai taksiran 100 peratus termasuk kenaikan 15 peratus tarif elektrik turut amat memeningkan kepala ayah.

Anakku, ayah tidak ingin kau berotak kosong dan menjadi pemalas, sebab itu ayah berikan ribuan buku untuk kau baca walaupun ayah terpaksa berlapar sekalipun. Anakku yang baik, bersabarlah. Suatu hari nanti ayah berjanji untuk membelikanmu sebuah basikal yang boleh ditukar kelajuannya dan pedang futuristik Star Wars yang kau inginkan.

Anakku, semalam kau bertanya padaku mengenai apakah cinta? Ayah jujur tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Tanpa perasaan kau bertanya perihal rakan sekolahmu, Maria yang tidak mempunyai ibu tapi mempunyai dua bapa. Ayah agak tergamam dan kelu.

Kau juga bertanya mengapa kedua-dua ayah Maria itu dibenci dan dijauhi orang lain serta apakah lelaki dengan lelaki boleh saling bercinta lalu berkahwin? Sungguh anakku, ayah mati akal untuk menjawabnya.

Ayah benar-benar terkejut dan kehairanan bagaimana kau yang baru berusia 10 tahun boleh bertanya perkara serumit itu? Siapakah yang mengajarmu? Mengapa kau tidak berhenti menanyakannya? Anakku yang pintar dan amat ayah banggakan, ayah selalu kagum dengan daya pemikiranmu. Ayah kagum dengan kemampuanmu menyerap dan peduli pada persekitaran.

Anakku, cinta dan mencintai adalah anugerah. Tidak semua orang memilikinya. Cinta itu adalah keasyikanmu meneguk air milo panas di pagi hari. Cinta itu adalah apabila kau dapat menikmati kartun Detective Conan, Jimmy Neutron dan SpongeBob SquarePants di petang hari. Cinta itu saat cuti panjang di rumah nenek. Cinta itu adalah ketika berenang di Kolam Renang Awam Chin Woo.

Cinta itu juga adalah izin daripada ibumu untuk menikmati aiskrim dan keropok Twisties perisa ayam BBQ. Anakku sayang, cinta itu adalah kau yang tidak pernah penat merengek meminta ibu menemanmu tidur selepas melihat filem hantu. Cinta, anakku, ia adalah usaha untuk memberikan kebahagiaan dan bukan merayakan kebencian.

Anakku yang baik, jangahlah cepat dewasa. Bermainlah sepuasmu, kerana saat bergelar kanak-kanak ini adalah bahasa paling mudah untuk kau memahami. Tidak ada kebencian dan pra sangka. Teruskanlah bermain bersama Maria, usahlah kau hirau mengapa ibu bapa orang lain melarang anaknya bermain dengan Maria. Anakku, ayah tekankan lagi, tidak ada manusia yang berhak melarang mu berkawan dengan siapa pun.

Sehingga saat ini, ayah masih bingung tentang bagaimana untuk menjelaskan padamu soalan itu. Ayah tahu kau tentunya begitu inginkan jawapan, setidaknya mengharapkan jawapan mengapa Maria tidak mempunyai ibu.

Ketahuilah anakku, ayah tidak tahu. Ayah tidak pernah mempertanyakan perkara seperti ini. Ketika jatuh cinta dengan ibumu, ayah tidak pernah peduli siapa dia, daripada mana keturunan atau agamanya. Ayah hanya peduli apakah dia turut mencintai ayah? Apakah ayah akan selalu mencintainya? Mampukah ayah membahagiakannya? Cinta anakku, adalah usaha untuk melupakan perbezaan atau paling tidak menerimanya sebagai sebuah keadaan.

Orang dewasa sering berbicara mengenai moral dan norma kehidupan. Ayah tidak pernah mengajar itu padamu. Apa yang ayah sering ajarkan adalah jujur pada diri sendiri. Ayah juga mengajarmu supaya selalu berkongsi dan berbahagia antara satu sama lain.

Cintailah manusia walau apa pun keadaannya. Ayah tidak marah walaupun kau bising tidak mahu tidur awal atau tidak mahu makan sayur dan minum susu. Ayah hanya akan marah padamu jika kau melawan ibu atau menyakiti orang lain.

Ingatkah kau, minggu lalu ayah mengajakmu bertemu pakcik Lai Meng. Katamu namanya amat lucu sekali. Pakcik Meng adalah orang Cina. Anakku, kau tentu tahu untuk menjadi orang Cina dan kaum lain masih lagi merupakan satu ‘dosa’ di negara ini terutama di kalangan ektrimis Melayu yang penuh rasa benci, iri hati dan tidak mahu berusaha.

Mereka ini sanggup menyucuk api melalui apa jua cara demi menyemai kebencian. Sama seperti orang yang membenci rakanmu, Maria. Mereka adalah manusia yang gagal memahami bahawa mencintai sesama manusia adalah perkara mutlak.

Anakku, ketahuilah kau, ayahmu ini adalah orang yang berani melawan kekolotan dan perkara tabu dengan memilih untuk bernikah dengan ibumu, seorang yang bukan berketurunan Melayu. Maka, selama kau bernafas di dunia ini, janganlah kau menyakiti dan mengganggu manusia lain hanya kerana mereka berbeza denganmu.

Entah bagaimana anakku, kamu mewarisi sikap keras kepala dan mahu tahu seperti ayah. Ketika ayah kebingungan, ayah tidak akan berhenti sampai benar-benar faham dan tahu akan jawapan kepada sesuatu perkara. Ayah tahu kau akan terus merajuk, merengek dan meraung jika ayah tidak menjawab pertanyaanmu, sama seperti ketika kau bertanya apakah itu ‘evolusi’? atau ketika kau selesai membaca buku tulisan Jean Paul Sartre dan bertanya mengenai eksistensialisme.

Kelam kabut ayah dan ibu dibuat oleh kau apabila bertanya soalan seberat itu. Mengenai ayah Maria, ayah hanya mampu mengatakan bahawa sesetengah daripada kita memilih jalan berbeza untuk mencintai. Sebagai contoh, ada antara kita sebagai manusia lebih gemar makan pisang goreng dan mencicahnya dengan sambal kicap. Atau memilih mayonis berbanding sos cili untuk dicicah ketika makan nugget.

Ada juga antara kita yang lebih menyukai pencipta mentol, Thomas Edison dan pencipta telefon, Alexander Graham Bell berbanding idolamu, Nikola Tesla. Kau mungkin akan berkerut dahi mengenai sebuah perbezaan tapi tidak perlulah kau menghadapinya dengan kemarahan.

Dulu ayah pernah bercerita denganmu mengenai kisah Nabi Lut. Tentang kota Sodom dan Gomorrah yang hancur kerana murka Tuhan. Tapi yakinlah anakku, ayah tidak ingin kau menjadi pembenci, ayah tidak mahu kau mengadili orang lain. Tahukah kau wahai anakku, tidak ada manusia yang berhak mengadili manusia lain kerana itu kerja Tuhan, hanya Tuhan yang berhak.

Suatu hari nanti, kau akan menemui sesetengah manusia yang merasakan dirinya mempunyai kuasa tinggi, lalu melantik dirinya sendiri sebagai wakil Tuhan, inilah yang terjadi sekarang di negara kita anakku dan ia sentiasa merunsingkan kepala ayahmu ini.

Jadi anakku, lupakan apa yang difikirkan rakanmu. Jadilah sahabat yang baik untuk Maria. Jadilah teman yang setia dan membela. Apa pun yang ayah Maria lakukan tidak membuat Maria menjadi hina. Lupakah kau anakku, Chairil Anwar pernah menulis bahawa ‘nasib adalah kesunyian masing-masing’. Kita bertanggungjawab pada takdir dan perbuatan yang kita sendiri lakukan. Bersikap sombong, jahat dan angkuh tidak membuat kita menjadi lebih baik.

Anakku, ayah tahu kau tidak akan faham perkara ini. Suatu ketika nanti apabila kau sudah sedikit dewasa kau pasti akan memahaminya. Itulah saja pesan untukmu. Seperkara lagi yang mahu ayah ingatkan, jika kelak ada orang yang memanggilmu sebagai sahabat tapi mengajak menyebar kebencian, janganlah kau ikut kerana tidak ada yang lebih menyedihkan daripada manusia yang berlindung daripada ketiak moral dan meminjam serta menggunakan nama tuhan untuk menyakiti orang lain.

Ayah mengakhiri surat ini dengan saranan usahlah kau peduli dengan lagu Blur daripada album ‘Modern Life Is Rubbish’ yang sering ayah mainkan di rumah tapi berpeganglah pada pertanyaan yang dinyatakan oleh novelis dan penyair bergelar ‘The Poet Laureate of Skid Row’, Charles Bukowski iaitu ‘mercy, i think, doesn’t the human race know anything about mercy?’

Sebelum terlupa, minggu ini ayah akan bawa kau dan Maria ke rumah nenek. Di rumah nenek nanti ayah akan ceritakan sebuah kisah mengenai perempuan tua kesepian yang hanya tahu mengulang-ulang benda sama dan dongeng banjir teruk yang melanda sebuah bandar tapi pemimpinnya sibuk melaungkan ‘1Melayu’ sambil berjoget sakan di ibu kota beberapa tahun lalu.

Ciuman sayang dan doa panjang.

Ayahmu.
(Malam hari, musim kemarau, September 2016) -Roketkini.com