Rencana

Siapa Mandela? – Edry Faizal

Sekitar penghujung tahun 80-an, saya masih anak hingusan ketika pertama kali mendengar nama Mandela daripada ibu. Waktu itu tidak saya tahu apa perjuangannya, apa keadaannya. Saya cuma merasakan Mandela itu tentunya seorang tokoh kerana namanya disebut dengan konotasi perjuangan.

Setelah dewasa, saya dapat melihat sewaktu beliau meninggal dunia, manusia dari segenap lapisan memberikan penghormatan. Tidak kira daripada mereka yang berjuang atas prinsip yang sama dengan beliau ataupun yang berjuang atas prinsip yang sama dengan penindas yang beliau hadapi dahulu.

Rolihlala Nelson Mandela berjuang pada zaman yang beliau sebutkan sebagai “mana-mana orang Afrika (kulit hitam) di Afrika Selatan sejak lahir lagi sudah dipolitikkan”. Merujuk kepada perkauman yang telah dinstitusikan, menjadi sebahagian dari sistem negara.

Afrika Selatan pada ketika itu diperintah oleh kerajaan minoriti kulit putih yang mengamalkan dasar-dasar perkauman. Kejahatan yang kemudiannya berkembang merampas pelbagai lagi hak asasi manusia sesiapa saja yang mengancam.

Mandela menggambarkan perkauman yang diinstitusikan dengan gambaran seorang bayi berketurunan Afrika lahir di hospital khusus untuk orang Afrika, dibawa pulang dengan bas khusus untuk orang Afrika, hidup di kawasan khusus untuk orang Afrika. Sekiranya dapat bersekolah, maka hanya boleh menghadiri sekolah dikususkan untuk orang Afrika.

Tidak sekadar itu, orang Afrika perlu memiliki pas sekiranya mahu berada diluar kawasan yang ditetapkan buat mereka. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan dihumban ke dalam penjara.

Dalam menghadapi cengkaman perkauman, Mandela pada pada awal aktivisme-nya tertarik dengan ide nasionalisme Afrika. Terpengaruh dengan hujah berapi-api Anton Lembede bahawa bumi Afrika milik kaum kulit hitam manakala benteng yang menghalang pembebasan orang Afrika adalah penyakit rendah diri.

Pergolakan di Afrika Selatan dilihat dalam kerangka orang kulit putih lawan orang kulit hitam semata dan perjuangan pembebesan Afrika Selatan ekskusif buat orang kulit hitam. Disebabkan itu beliau membantah kerjasama African National Congress (ANC) dengan pertubuhan bukan kulit hitam yang lain lebih-lebih lagi Parti Komunis Afrika Selatan (SACP).

Keadaan Afrika Selatan menjadi semakin meruncing apabila Parti Kebangsaan (Nasionale Party) dengan laungan “Die wit man moet altyd baas wees” yakni orang kulit putih mesti terus menjadi tuan, memenangi pilihan raya pada 1948 dan membentuk kerajaan. Apartheid atau pengasingan yang merupakan ide lama diberi nafas baru dan menjadi dasar yang diperjuangkan Parti Kebangsaan dengan semangat ketuanan Afrikaner (warga kulit putih Afrika Selatan berketurunan orang Eropah).

Cengkaman aparteid jauh lebih dasyat dari sebelumnya. Kini mangsa penindasan tidak terhad hanya terhadap orang Afrika. Kaum India, Coloured dan Ahli Parti Komunis Afrika Selatan termasuk yang berkulit putih turut menjadi mangsa penindasan.

Situasi itu memaksa semua gerakan pembebasan berkerjasama tanpa mengira latar kaum dan ideologi. Pada waktu ini Mandela berpeluang menilai kembali pegangan nasionalismenya malahan mula mengenali komunisme dengan lebih dekat.

Moses Kotane, Setiausaha Agung Parti Komunis Afrika Selatan merupakan antara yang bertanggungjawab mengendurkan penentangan Mandela terhadap komunisme. Mandela pernah menceritakan bagaimana mereka berdua sering berdebat sehingga ke pagi. Menyedari beliau kekurangan pengetahuan tentang falsafah Marxisme, Mandela mendapatkan karya-karya Marx dan Engels, Lenin, Stalin, Mao Zedong dan lain-lain untuk mendalami materialisme dialektik dan sejarah.

Mandela di dalam autobiografinya sendiri mengakui bahawa materialisme dialektik “menawarkan cahaya yang menerangi kegelapan penindasan kaum dan alat untuk manamatkannya”. Ia telah membantu beliau melihat situasi di Afrika Selatan melangkaui perspektif hubungan kulit hitam dan kulit putih. Dan sekiranya mahu perjuangan menentang aparteid berjaya, perjuangan itu juga mestilah melangkaui batas kaum.

Beliau cuba mendamaikan pegangan nasionalisme dan materialisme dialetik yang ditemuinya dari ideologi Marxisme dengan menyatakan bahawa beliau seorang nasionalis Afrika, memperjuangkan kebebasan orang Afrika daripada pemerintahan minoriti dan menuntut hak menentukan nasib sendiri. Pada masa yang sama masalah yang dihadapi di Afrika Selatan bukanlah sesuatu yang unik dan falsafah telah meletakkan masalah itu dalam konteks sejarah dunia yang lebih besar.

Sikap Mandela yang pragmatik dan anjal menghadapi aparteid tidak terhenti sekadar sikapnya pada ideologi, tetapi juga pada strategi penentangan. Pada awalnya Mandela cuma terlibat menyusun penentangan tanpa keganasan ala Gandhi melalui Defiance Campaign.

Disebabkan mogok dan protes yang dijalankan, Mandela dan rakan-rakannya mula disumbatkan ke dalam lokap dan penjara. Pengalaman dilokap atau dipenjara oleh pemerintah mula menjadi satu kebanggaan di kalangan pejuang penentang aparteid.

Kempen demi kempen dijalankan namun tidak nampak sebarang tanda rejim aparteid semakin lemah, malah menjadikannya lebih liar. Akhirnya, pembunuhan beramai-ramai Sharpville menyebabkan perdebatan tentang perjuangan mengangkat senjata muncul kembali.

Mandela merupakan insan yang bertanggungjawab mengetengahkan ide penentangan bersenjata kepada para pemimpin ANC.

Ketika idenya ditentang Moses Kotane, Mandela menyatakan bantahan Moses Kotane itu tidak ubah seperti Parti Komunis di Cuba di bawah rejim Batista. Menunggu saat yang sesuai tiba kerana mengikut secara literal telunjuk teks Lenin dan Stalin. Beliau memuji Fidel Castro yang terus bertindak dan berjaya menumbangkan rejim. Sungguhpun kongres ANC kekal tidak memilih perjuangan bersenjata, mereka memberikan Mandela restu menubuhkan kumpulan berasingan bagi tujuan itu. Umkhonto we Sizwe atau MK ditubuhkan, MK di kemudian hari menjadi sayap militia ANC.

Sekali lagi dalam mencari prinsip fundemental untuk memulakan revolusi, Mandela terpaksa merujuk kepada laporan setiausaha agung parti komunis Cuba, Bias Roca sewaktu mereka bergerak dalam pertubuhan haram di bawah rejim Batista. Rujukan beliau juga meliputi karya tentang Mao Zedong, Che Guevara dan Fidel Castro.

Selepas bermulanya perjuangan militia, kehidupan Mandela menjadi semakin berliku. Beliau menjadi orang buruan. Terpaksa hidup dalam persembunyian dan semakin terpisah dengan keluarga.

Apabila tertangkap, beliau dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan sabotaj untuk menghapuskan sistem aparteid, yang jika disabitkan kesalahan membawa kepada hukuman mati. Perbicaraan ini dikenali dengan nama Perbicaraan Rivonia yang terkenal dengan ucapan panjang Mandela dari kandang tertuduh. Ucapan yang berakhir dengan rangkap keramat:

During my lifetime I have dedicated myself to this struggle of the African people.

I have fought against white domination, and I have fought against black domination.

I have cherished the ideal of a democratic and free society in which all persons live together in harmony and with equal opportunities.

It is an ideal which I hope to live for and to achieve.

But if needs be, it is an ideal for which I am prepared to die.

Ini hanya cebisan kisah Nelson Mandela, perjuangan yang berwarna-warni. Memperingati bahawa Nelson Mandela seorang pejuang menentang sebuah sistem perkauman. Nelson Mandela seorang pejuang menentang ketuanan Afrikaner yang bertindak zalim ke atas sesiapa saja yang menggugat.

Nelson Mandela seorang yang percaya kepada kesetaraan dan kesaksamaan tanpa mengira kaum dan berjuang berhabis-habisan deminya. Nelson Mandela percaya Afrika Selatan adalah untuk semua warganya tanpa mengira warna kulit dan keturunan. Sesiapa boleh mengaku mereka di pihak Mandela, tetapi siapa yang benar-benar berjuang dengan prinsipnya? – Roketkini.com