Rencana

The Heat: Guna Hak Berfikir Sebelum Hak Bersuara? – Haris Zuan

BETUL, berapa kerat sahaja yang baca The Heat. Malah sebelum permit The Heat ini digantung tidak bertali (meminjam istilah Fathi Aris Omar) oleh Kementerian Dalam Negeri, kebanyakan kita tidak sedar pun akan kewujudan akhbar mingguan ini. Tetapi kita pastinya tidak terlalu naif untuk menyedari bahawa tindakan ini adalah peringatan untuk yang lain agar lebih ‘berhati-hati’ dalam laporan mereka.

Sebagai latar untuk perbincangan ini, suka diingatkan, Malaysia berada di kedudukan 145 untuk Indeks Kebebasan Media yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders, ketinggalan di belakang Bangladesh, Kemboja, dan Indonesia, syukur sedikit baik berbanding negara komunis Korea Utara. Mengapa kita harus malu dengan rekod ini dan bagaimana kebebasan akhbar ini mempengaruhi tahap kecerdikan kita dalam membuat keputusan?

Apa kaitannya kebebasan akhbar dengan demokrasi?

Pertamanya bagi memahami perkara ini, kita harus pulang kepada idea paling asas dalam demokrasi perwakilan (representative democracy) yang kita amalkan kini. Oleh kerana penduduk Malaysia ini terlalu ramai, maka tidak semua orang mampu terlibat aktif dalam proses membuat keputusan. Bayangkan sahaja dalam sebuah kampung, setiap kali diadakan mesyuarat, hanya beberapa kerat sahaja yang mampu hadir. Apatah lagi untuk ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bagi setiap sidang.

Perkara ini boleh kita fahami atas dua alasan. Pertama tidak semua orang mempunyai masa lapang untuk hadir mesyuarat dan keduanya tidak semua orang berminat dengan semua isu yang dibincangkan serta mungkin juga tidak mempunyai pengetahuan mendalam akan setiap isu yang ingin dibincangkan.

Oleh yang demikian, kita memilih wakil yang terbaik di antara kita untuk mewakili kita dengan anggapan mereka ini akan memastikan kepentingan kita dipertahankan. Maka kita memilih wakil setiap penggal pilihan raya tanpa gagal ke Dewan Undangan Negeri untuk pertahankan kepentingan kita di peringkat negeri dan Parlimen untuk peringkat Persekutuan. Mudah. (nota: malangnya kini kita tidak lagi memilih wakil ke kerajaan tempatan setelah hak ini digantung oleh Kerajaan UMNO-BN sejak 1960an).

Namun, bagaimana kita mahu memastikan mereka ini menjalankan tanggungjawab menjaga kepentingan kita atau mereka ini sebenarnya membuat keputusan yang menyusahkan kita pada akhirnya? Maka di sinilah pentingnya kebebasan media termasuk akhbar. Kita mesti mengetahui apa yang mereka lakukan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Apa yang mereka bahas dan putuskan. Apakah setiap wakil yang kita pilih itu benar-benar berbahas demi mempertahankan kepentingan kita atau sebenarnya mereka hanya membuat lawak sarkis. Maaf, jangan silap sangka, saya tidak merujuk kepada Bung Mokhtar.

Malangnya di negara ini tiada siaran langsung untuk sidang Parlimen – Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara – apatah lagi Dewan Undangan Negeri. Hanya RTM yang menyiarkan siaran langsung untuk sesi jawapan Menteri daripada jam 10:00 pagi hingga 11:30 pagi. Hanya itu.

Maklumat ini sangat penting bagi memastikan kita tidak kekal memilih orang yang tidak layak untuk mewakili kepentingan kita. Demikianlah peri pentingnya maklumat yang datangnya daripada kebebasan media. Tanpa kebebasan media ini, kita mungkin bukan sahaja akan terus memilih orang bodoh untuk membuat keputusan untuk kita, malah kita akan kekal memuja kebodohan mereka.

Tapi bagaimana pula jika akhbar ini menipu?

Kebebasan media dan hak bersuara bukan bererti TV3 akan menyiarkan berita yang menyokong Pakatan Rakyat atau Roketkini berkempen untuk Barisan Nasional. Media tidak pernah neutral dan tidak mungkin akan neutral. Maka atas alasan inilah kita memerlukan lebih banyak media untuk mewakili kumpulan yang berbeza – bukan sahaja dalam soal parti politik.

Apabila ada banyak pilihan, kita boleh membandingkan maklumat yang ada dan membuat keputusan yang lebih baik. Tanpa maklumat daripada semua sudut, kita akan kekal menjadi bodoh.

Kebebasan datang dengan akibat dan tanggungjawab. Jika akhbar didapati menipu, saman sahaja mereka ini sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakkan pemimpin Pakatan Rakyat yang menang berjuta ringgit kerana akhbar salah lapor kenyataan mereka. Malangnya berita ini tidak disiarkan demi membodohkan orang kampung.

Membawa isu salah lapor ini ke mahkamah jika tidak mahu dibiarkan kepada orang ramai untuk membuat keputusan sendiri adalah jauh lebih terhormat dan munasabah berbanding sistem kini yang membolehkan satu orang manusia di negara ini – Menteri Dalam Negeri – menentukan apa yang seharusnya 30 juta rakyat negara ini baca dan tahu.

Gunakan Hak Berfikir Sebelum Hak Bersuara?

Satu ayat yang gemar digunakan oleh mereka yang anti-kebebasan bersuara (mereka ini sebenarnya tidak pun faham erti kebebasan bersuara itu hanya anti kerana disuruh begitu) adalah lirik lagu Aku Maafkan Kamu naynyian Malique dan Jamal Abdillah – guna hak berfikir sebelum hak untuk bersuara. Kenyataan yang sebenarnya bersifat falasi (kesalahan logik atau kesesatan hujah).

Bersuara adalah manifestasi fikiran kita. Kebebasan bersuara adalah kebebasan untuk menzahirkan fikiran kita dalam apa bentuk pun – tulisan, filem, musik, lukisan – dan dalam apa medium pun – akhbar, majalah, radio, playcard, kanvas. Hak berfikir bererti hak untuk menyampaikan idea kita kepada orang lain. Tanpa kebebasan paling asas ini oleh lain (termasuk kita) tidak mampu untuk berfikir kerana masing-masing tidak mampu meluahkan idea masing-masing dan saling bertukar pandangan.

Oleh itu, tidak mungkin wujud keadaan di mana kita dapat menggunakan hak berfikir tanpa mendapat hak bersuara kerana kedua-duannya adalah hal yang sama, melainkan jika ada yang bersuara tanpa berfikir – sekali lagi ini tiada hubungan dengan Bung Mokhtar.

Oleh kerana kini tiada lagi ruang untuk menzahirkan hak berfikir melalui medium konvensional seperti TV dan akhbar maka ramai yang telah menggunakan internet – Facebook, Twitter, Youtube dan portal berita.

Malangnya capaian internet di Malaysia ini maha pelahan (di tangga 122 dunia di belakang Angola menurut Household Download Index) dan liputannya belum benar-benar mencakupi luar bandar maka hanya mereka yang berada di bandar dan pinggir bandar yang mendapat akses kepada maklumat ini yang kemudiannya menciptakan jurang perbezaan maklumat yang besar antara bandar dan luar bandar, sebagaimana yang terjadi kini.

Akhirnya penduduk luar bandar (yang rata-ratanya Melayu Islam Sunni) kekal dibodohkan untuk terus memilih wakil yang memastikan kehidupan mereka yang sedia susah kian menderita. Maka tanpa adanya kebebasan bersuara sampai bila-bila demokrasi hanya proses menaikkan orang bodoh sebagai pemimpin. Sekali lagi saya ingin tegaskan, saya tidak merujuk Bung Mokhtar secara langsung mahupun tidak langsung. – Roketkini.com