Berita

Beri dana kepada Perkasa, Kerajaan BN perlu mohon maaf

HO CHI MINH (Vietnam), 26 DISEMBER: Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu memohon maaf kerana menggunakan wang rakyat untuk membiayai kumpulan yang menentang penyatuan kaum dan keharmonian agama, termasuk Perkasa.

Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok Suh Sim berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya membantu kumpulan pendesak Melayu yang melawan konsep 1Malaysia yang sering dilaungkan.

“Maka kebenaran (akhirnya) keluar, UMNO dan kerajaan selama ini melindungi dan memberi banyak dana kepada Perkasa.

“Bagaimana kerajaan yang sering cakap mengenai 1Malaysia boleh melindungi dan beri bantuan kepada organisasi yang melawan konsep itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen DAP Seputeh itu turut mendesak Najib mendedahkan maklumat bantuan yang diberikan, serta menyatakan sama ada beliau komited dengan konsep 1Malaysia.

Beliau merujuk laporan kenyataan anggota Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Isa Samad bahawa Perkasa banyak mendapat bantuan daripada UMNO.

“Dia pun nasib dia, kita yang bela dan mereka banyak terima nikmat daripada kita. Macam mana mereka nak ganti dia?” kata Isa seperti dipetik.

Dalam pada itu, Teresa berkata, tanggapan umum bahawa UMNO menggunakan Perkasa bagi menyuarakan permintaan ekstrim mereka memang sudah lama berlegar.

“(Malah) tiada tindakan diambil kepada kumpulan ini apabila membuat kenyataan provokasi dan menghasut yang melanggar undang-undang,” katanya yang menyifatkan pengakuan Perkasa itu mengejutkan dan tidak boleh diterima.

Memetik laporan Malaysiakini semalam, Perkasa turut mengakui mendapat bantuan daripada tiga agensi kerajaan – Majlis Keselamatan Negara (MKN); Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang membiayai programnya.-Roketkini.com