Berita

DAP gesa jangan ‘double standard’ kepada Paderi Andrew, siasat semua

PETALING JAYA, 8 JAN: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua menyifatkan pihak berkuasa bersikap dwi-standard terhadap Pengarang akhbar mingguan Herald, Paderi Lawrence Andrew berhubung isu kalimah ‘Allah’, berbanding kenyataan yang jauh lebih berbahaya yang dibuat tokoh pro-BN sebelum ini.

Beliau merujuk laporan laman The Malaysian Insider berhubung tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyoal siasat Andrew di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan ekoran kenyataannya bahawa gereja di Selangor tetap akan menggunakan kalimah ‘Allah’.

Tony berkata, tiada seorang pun tokoh pro-BN yang dipanggil pihak berkuasa, termasuk PDRM walau pun mengeluarkan kenyataan yang jauh lebih berbahaya.
“Paderi Andrew hanya menegaskan fakta bahawa kalimah ‘Allah’ telah digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu di sini, beratus tahun yang lalu tanpa sekatan dan kontroversi. Beliau tentunya tidak menyeru pertumpahan darah atau mengapi-apikan keganasan.

“(Sedangkan) Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengeluarkan fatwa menyatakan halal untuk menumpahkan darah peserta himpunan TURUN 31 Disember lalu berasaskan konsep ‘bughah’. Seruan itu menggunakan agama untuk menjustifikasikan keganasan dan pembunuhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, katanya lagi, di sebalik kenyataan Harussani yang jelas menghasut dan mengejutkan itu, tiada satu pun usaha dibuat untuk menghukum, apatah lagi menyiasat beliau.

“Siapa yang akan bertanggungjawab jika ada peserta himpunan itu yang dibunuh, ekoran fatwa tidak bertanggungjawab itu?” katanya lagi.

Kenyataan Harussani itu dikecam pelbagai pihak, antaranya Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang menuntut beliau memohon maaf.
Seorang peserta Himpunan TURUN, Khamisah Abdul Hamid, 55, turut membuat laporan polis kerana bimbang kenyataan itu mengancam keselamatan seluruh ahli keluarganya yang menyertai himpunan itu.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu turut memberi beberapa contoh lain; antaranya Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menyeru pembakaran besar-besaran Al-Kitab, serta Naibnya, Zulkifli Noordin yang memperolok-olokkan agama Hindu.

“Tiada sebarang tindakan ke atas mereka, walaupun betapa teruknya ‘hasutan’ yang dibuat itu,” katanya.

Katanya lagi, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ‘semua orang adalah sama rata di bawah undang-undang’ dan tidak memberikan apa-apa pengecualian kepada mana-mana pihak.

“Saya menyeru PDRM untuk bertindak adil berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu dan tidak berat sebelah ke atas sesiapa, tanpa mengira agama, kaum dan keturunannya,” katanya. – Roketkini.com