Berita

Skandal RM12.5 bilion PKFZ: Peguam Negara patut dipecat

KUALA LUMPUR, 15 JAN – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail perlu dipecat ekoran kegagalannya mengendalikan kes skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) sehingga menyebabkan suspek utama, Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Chan Kong Choy dibebaskan.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, Abdul Gani diberi kepercayaan untuk memastikan sesiapa yang didapati melakukan rasuah dan salah guna kuasa diadili melalui pendakwaan berkesan.

“Dalam kes yang melibatkan hilangnya wang rakyat berjumlah RM12.5 bilion ini, kita berharap kerajaan menjamin sesiapa yang bersalah menerima hukuman setimpal.

“Namun, pembebasan Ling Liong Sik sebelum ini dan Chan Kong Choy semalam oleh Abdul Gani, meninggalkan tanda tanya kepada rakyat tentang siapa yang bertanggung jawab ke atas skandal terbesar negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Maka menurut beliau, jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serius untuk menghukum salah laku dalam pentadbiran, beliau perlu memecat Abdul Gani dan menggantikannya dengan orang yang lebih cekap, adil dan berani.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebaskan bekas Menteri Pengangkutan, Chan Kong Choy daripada tiga tuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi.

Ia ekoran pihak pendakwaan memutuskan untuk menarik balik pertuduhan selepas mempertimbangkan penghujahan peguam bela, Tan Hock Chuan.

Mengulas pembebasan itu, Pua menyifatkan kes itu seolah-olah sekadar ingin menunjukkan kepada rakyat, kononnya kerajaan bertegas dengan rasuah.

Ini kerana Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam siasatannya menyarankan Chan didakwa atas tuduhan pecah amanah di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan (dibaca bersama seksyen 409B), selepas mengeluarkan tiga surat jaminan tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

“Namun malangnya, Peguam Negara mendakwa Chan dengan pertuduhan mengelirukan, iaitu menipu Tun Abdullah. Dakwaan itu telah dibuktikan mustahil, melalui pembebasan Ling Liong Sik yang didakwa dengan tuduhan yang sama,” katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan keengganan Abdul Gani mengikut saranan PAC itu.

“Adakah Peguam Negara sengaja mendakwa mereka dengan pertuduhan lemah itu, sekadar untuk memberi gambaran kerajaan tegas dengan rasuah, kerana sedar ia pasti akan ditarik balik?” katanya lagi.

Pada tahun 2011, Bekas Presiden MCA itu didakwa atas tuduhan menipu Abdullah dengan meluluskan Kuala Dimensi Sd Bhd sebagai pemaju dalam projek pemindahan kapal bernilai RM1.9 bilion dan kerja pengubahsuaian di PKFZ. – Roketkini.com