KUALA LUMPUR, 16 JANUARI: DAP menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik balik keputusannya untuk tidak lagi melantik penolong pendaftar pemilih (ARO) parti politik selepas tempoh pelantikan sedia ada tamat.
Pengarah Pilihan Raya DAP, Ong Kian Ming berkata, keputusan SPR itu menyebabkan parti politik tidak boleh lagi mendaftar pengundi secara terus.
“Sebelum ini, kami boleh daftar pengundi di program kami dan borang pendaftaran akan ditandatangani ARO. Tanpa mereka, mana-mana parti politik akan sukar untuk mendaftar pengundi baru.
“Terutama bagi Pakatan Rakyat, kerana kami mendaftar pengundi jauh lebih ramai berbanding BN. Contohnya, antara Januari dan Jun 2010, kami mendaftar seramai 107,050 pengundi baru di Semenanjung Malaysia, manakala BN hanya 59,351,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP, di sini, pagi tadi.
Turut dilampirkan surat daripada SPR bertarikh 13 November 2013 yang menyatakan tiada lagi pelantikan ARO baru, kononnya bagi menyelaraskan pelaksanaan kaedah pendaftaran sedia ada.
DAP sudah menghantar surat meminta penjelasan pada Disember lalu, namun belum menerima maklum balas sehingga kini.
Ahli Parlimen Serdang itu menyifatkan alasan yang diberi SPR tidak boleh diterima dan mempertikaikan tujuan sebenar keputusan itu.
“Dua perkara yang mengganggu iaitu keputusan SPR menunjukkan mereka tidak berminat untuk menambah pengundi baru bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Selain itu kami juga syak SPR tidak ingin kami mendaftar lebih ramai pemilih di kawasan bandar yang majoritinya adalah penyokong Pakatan Rakyat,” katanya lagi.
Katanya lagi, ini kerana majoriti yang belum mendaftar adalah daripada kawasan bandar dan pertambahan bilangan pengundi baru di situ akan menambah tekanan kepada SPR untuk menambah bilangan kerusi pada proses persempadanan semula yang akan dibuat nanti.
Sebagai contoh, jumlah pengundi di kawasan Parlimen Gelang Patah yang dimenangi Lim Kit Siang adalah 106,726 dan di Seputeh yang dimenangi Teresa Kok pula seramai 85,976, jauh lebih tinggi berbanding kerusi luar bandar yang dimenangi BN, seperti di Kuala Besut (17,683 pengundi).
Perlu bincang dengan parti politik
Dalam pada itu, Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San berkata, SPR sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan parti politik, sebelum membuat keputusan itu.
“Ia tidak adil. Diharap keputusan itu tidak dipengaruhi ‘tangan ghaib’,” katanya lagi.
Setiausaha Organisasi DAP Johor, Tan Hong Pin pula berkata, tugas ARO telah memudahkan tugas SPR dalam mendaftarkan mereka yang layak sebagai pengundi.
“Malah, ramai yang puji usaha kami buka kaunter (di tempat awam). Mereka tidak perlu ke kaunter dan pejabat SPR atau pejabat pos,” katanya.- Roketkini.com