Berita

Kalau Tunku masih ada pastinya beliau sedih melihat keadaan negara – Kit Siang

KAJANG, 11 FEBRUARI: Jika Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj masih hidup sehingga sekarang, beliau pastinya berasa amat sedih dan kecewa dengan Malaysia yang dibina berlandaskan rasa cinta, tapi masih hidup dalam keadaan penuh ketakutan serta kebencian antara sesama.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika menyampaikan pidatonya dalam forum Legasi Tunku Abdul Rahman anjuran Institut Rakyat di Kolej Universiti New Era, Kajang, malam tadi.

“Kita semua rakyat yang cintakan negara pastinya ingat bahawa Tunku mahu dikenang sebagai Perdana Menteri paling gembira di dunia ini dengan penubuhan Malaysia.

“Tetapi saya percaya bahawa jika Tunku masih hidup, pastinya beliau akan menjadi paling sedih melihat keadaan negara sekarang yang diseliputi pelbagai krisis tanpa penyelesaian seperti masalah ekonomi sehingga tsunami kangkung boleh berlaku, pendidikan menjunam, kadar jenayah meningkat, kebencian kaum dan agama makin menular.

“Selepas lebih 56 tahun negara ini dibina, Tunku tentunya mahu melihat Malaysia menjadi lebih erat dan bersatu dalam kehidupan majmuk berbilang agama dan kaum,” katanya.

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu turut menyatakan, Tunku juga pastinya akan berasa sangat kecewa dengan mainan politik sempit menggunakan agama dan kaum untuk memecah belah masyarakat.

Katanya, beberapa pimpinan UMNO kini bukan saja tidak membawa perjuangan asal, malah sanggup membelakangkan undang-undang hanya untuk kepentingan peribadi.

“Kita dapat lihat dengan jelas bagaimana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan tindakan menyembelih dan melumur darah ayam ke sepanduk tertera muka saya dan pimpinan lain termasuk bayaran RM1200 kepada individu yang berjaya menampar Teresa bukanlah satu kesalahan.

“Saya amat menantikan jawapan seterusnya dari Zahid, apakah beliau selepas ini akan mengatakan ia tidak menjadi masalah berdemonstrasi seluruh negara dan kemudian menawarkan ganjaran RM1200 untuk menampar Najib? Muhyiddin RM1300 dan mukanya sendiri sebanyak RM1500?

“Patut kah tindakan sebegini? Tentunya salah dan tidak boleh sama sekali,” ujarnya.

Jelas Kit Siang lagi, firasat bahawa UMNO sudah jauh menyimpang sebeginilah yang menjadi penyebab beberapa tahun sebelum menghebuskan nafas terakhir, Tunku menolak untuk menyertai UMNO Baru pimpinan Mahathir.

“Tunku menolak dan tidak memasuki UMNO Baru yang ditubuhkan pada 1987 yang ada hingga kini kerana telah lari dari perjuangan asal. Bukan hanya Tunku, malah Tun Hussein Onn juga menolak menyertai UMNO Baru.

“Saya masih ingat saat bertemu Tun Hussein, ketika itu beliau merupakan Penasihat Petronas di penghujung 80an.

“Beliau katakan pada saya, penipuan paling besar dalam sejarah negara adalah apabila Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya mengenang pertemuan itu.

Antara panelis lain dalam forum itu ialah Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; mantan Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan calon PR DUN Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Roketkini.com