Berita

‘Hilangkan’ karya kritis, Balai Seni Visual Negara tindas pengkarya

KUALA LUMPUR, 14 FEBRUARI: Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) hari ini menggesa Balai Seni Visual Negara (BSVN) dan penganjur anugerah Bakat Muda Sezaman 2013 memberikan penjelasan berhubung tindakan mereka ‘menghilangkan’ sebuah karya yang telah dipilih panel juri tanpa sebarang sebab, semalam.

Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim berkata, perkara terbabit tidak sepatutnya dilakukan terhadap karya ‘alksnaabknuaunmo’ oleh Cheng Yeng Pheng kerana ia jelas mencabuli hak kebebasan berekspresi.

“Kami ingin sekali mengetahui justifikasi pihak penganjur mengeluarkan karya beliau dan tampil memberikan penjelasan demi menunjukkan komitmen serta profesionalisme mereka.

“Kita memandang berat isu ini kerana ia jelas tidak profesional, mencabul hak dan kebebasan berkarya pelukis.

“DAP pada prinsipnya meraikan kebebasan berekspresi dan kreativiti sesuai dengan prinsip asas kebebasan dalam konteks demokrasi,” katanya dalam kenyataan.

Mahdzir turut mengecam keras tindakan BSVN itu yang sekaligus mengulangi dan meneruskan penindasan terhadap warga seni dan karyanya.

“Kami melihat perkara ini sebagai kesinambungan penindasan terhadap pengkarya seperti yang berlaku kepada Ernest Zacharevic,video ‘onederfull Malaysia’ terbitan Teresa Kok dan Negara Kuku.

“Sebaliknya, karya propaganda kerajaan seperti Tanda Putera diberi ruang meluas dalam arena penghayat termasuk liputan media kepada pembuat filem untuk menjelaskan kontroversinya. Tetapi dalam siri-siri penindasan kepada karya kritikal, ia tidak berlaku.

“Secara prinsipnya, kita menyokong usaha para artis, pemuzik, seniman dan pelukis yang tampil dengan karya-karya membawa semangat demokrasi, kepelbagaian dan estetika tinggi sebagai lambang Malaysia lebih progresif,” ujarnya.

Laporan portal Malaysiakini semalam melaporkan karya Yeng Peng iaitu sebuah catan yang disembur cat putih dengan perkataan ‘ABU=ASHES’ telah ditarik balik secara melulu sebelum berlangsungnya majlis penyampaian hadiah.

ABU ialah akronim ‘Asal Bukan UMNO’ yang menjadi graffitti popular di seluruh negara bagi membantah kerajaan UMNO.

Yeng Pheng juga telah menyatakan bahawa karya seni beliau adalah hanya bertujuan untuk mengangkat ruang idea yang melangkaui politik picisan iaitu dengan bermain pada idea ruang lukisan, pameran dan pendirian politk dalam ruang institusi. – Roketkini.com