Berita

DAP Johor saran kawasan berbahaya diwarta segera

KLUANG, 22 FEB – DAP Johor merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga lapan orang mangsa kes mati lemas di Sungai Muar, Buloh Kasap, Segamat Johor.

Dalam kenyataan kepada media, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong menyifatkan tragedi ini sebagai sangat menyayat hati memandangka ia melibatkan mangsa yang berumur antara tiga belas hingga enam belas tahun.

Kesemua mangsa yang mati lemas bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap di daerah Segamat. Kejadian dilaporkan berlaku pagi semalam apabila salah seorang pelajar telah tergelincir jatuh dan cuba diselamatkan oleh rakan-rakan yang lain.

Menurut Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang, mereka yang terkorban bukan sahaja anak kepada keluarganya tetapi merupakan aset penting negara bagi masa akan datang.

“Tragedi menyayat hati ini bukan sahaja amat mendukacitakan kita malah turut mengundang rasa bimbang dengan tahap keselamatan anak khususnya di luar waktu persekolahan yakni di luar kawasan sekolah,” ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa ibu bapa, guru, pemimpin dan juga rakan-rakan harus melihat aspek keselamatan sebagai unsur penting dalam kehidupan kita.

Dalam perkembangan yang sama beliau menyifatkan semua langkah-langkah keselamatan yang telah diambil belum memadai dan beliau mencadangkan kepada pihak keselamatan untuk mengenalpasti kawasan yang terdedah kepada berlakunya kemalangan agar sentiasa dipantau.

Malah menurutnya lagi ia wajar diwarta sebagai kawasan larangan untuk orang awam terutamanya pelajar sekolah.

Dalam tragedi lapan pelajar terjatuh ke dalam Sungai Muar semalam, tiga daripanya telah disahkan mati lemas dan lima yang lain masih hilang. – Roketkini.com