Wawancara

Tidak mustahil PR Johor cipta sejarah tawan Nusajaya – Teck Hwa

PARLIMEN Bakri adalah satu daripada Parlimen di utara negeri Johor, ia bersebelahan dengan Parlimen Muar, Pagoh dan Ledang. Kawasan ini di bawah pentadbiran daerah Muar. Populasi daerah Muar ini kira-kira 250,000 penduduk dan pengundi dalam Parlimen Bakri kira-kira 67,202 orang.

Kegiatan ekonomi di kawasan ini pada umumnya terbahagi kepada perniagaan runcit dan pertanian selain kakitangan awam.

Pada PRU-13 lalu, Er Teck Hwa dipilih sebagai Ahli Parlimen dengan majoriti 5,067 undi. Majoriti itu meningkat berbanding PRU-12 iaitu 722 undi, meningkat hampir lapan kali ganda.

Ikuti wawancara Roketkini bersama beliau.

teck hwa 4Salam sejahtera, saudara boleh cerita sedikit pandangan mengenai pasca PRU-13 lalu. Apa pendapat yang boleh dikongsi bersama.

Terima kasih. Selepas Mei 2013, saya berani katakan bahawa masyarakat kita baik di kawasan Bakri, Muar dan Johor secara amnya, sudah mula menerima Pakatan Rakyat sebagai satu wadah alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

Mengapa saya kata demikian, kerana dua sebab. Pertama kita dapat lihat jumlah dan pola pengundi pada PRU-13 lalu. Undi majoriti saya naik agak signifikan sekali dan undi di kawasan masyarakat Melayu begitu memberansangkan sekali.

Saya agak terkejut juga pada mulanya, tidak menyangka ada pertambahan sokongan di kawasan yang saya tidak menang ketika PRU-12 dulu.

Kedua, aktiviti kami, baik aktiviti politik atau aktiviti kemasyarakatan, sambutan sangat baik dan dapat lihat perubahan itu datang di kalangan orang tempatan sendiri.

Dulu saya peruntukan untuk buat program kemasyarakatan tidaklah begitu banyak, tetapi kini sangat berbeza sekali.

Bagaimanapun, oleh kerana kita MP oposisi, kita tiada peruntukan mencukupi untuk buat program rakyat, harap daripada rakan dan ahli yang menyokong saja. Peningkatan sokongan itu memang ada, tetapi masih tidak mampu untuk buat lebih mantap lagi. Ini dilema kami wakil rakyat oposisi.

Rakyat harap kita dapat buat sebagaimana wakil rakyat BN, namun kita tidak ada sumber. Tapi kini rakyat faham bahawa terdapat jurang yang amat besar antara kami daripada segi sumber peruntukan.

Bagaimanapun, program kita tetap berjalan malah terus bertambah. Kekangan sumber tidak halang kami untuk jalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Bagaimana saudara dapat tembusi kawasan yang dulunya dianggap hitam bagi DAP atau PR?

Saya tdak kata saya dapat putihkan kawasan hitam buat kami. Memang ada segelintir masyarakat yang masih enggan mendekati dan enggan didekati. Bila kita datang atau jemput, mereka tak mahu, mengelak (menolak) dan sebagainya, itu kita fahamlah.

Saya anggap kelompok ini masih ‘segan’ dengan kita, bukan dengan DAP saja, termasuk juga segan dengan PAS dan PKR. Kelompok ini kita akui adalah penyokong tegar UMNO/BN.

Tapi sebagai wakil rakyat, saya tetap akan berkunjung ke kawasan mereka bagi meninjau apa jua permasalahan di sana. Kerja tetap kena jalan.

teck hwa 6Bagaimana reaksi rakyat berkaitan GST?

Kena ingat, Muar dan Bakri adalah kawasan pinggir bandar, ekonomi di kawasan ini banyak bergantung kepada hasil pertanian dan peruncitan. Sepanjang program bersama rakyat dan lawatan saya bertemu rakyat, tidak kira Cina, Melayu, India, semuanya mengeluh tentang GST ini.

Saya tanya mereka, adakah anda tahu apa itu GST? Mereka jawab ya, GST ini akan bebankan rakyat dalam suasana ekonomi tidak menentu. Malah nisbah cukai yang dikenakan itu tidak munasabah sekali.

Rakyat sudah tahu bandingkan GST yang akan dilaksanakan kerajaan dengan GST di Singapura sebagai contoh. Jadi, rakyat sebenarnya sudah sedar. Ini bukan masyarakat bandar besar ya, ini masyarakat pinggiran bandar, mereka sudah tahu dan celik dengan maklumat.

Umunya yang saya jumpa, mereka mahu nisbah GST ini dimulakan dengan jumlah yang rendah, mugkin 2 atau 3 peratus dulu. Itu dapat diterima akal.

Masyarakat sangat prihatin masalah ini kerana kelompok mereka ini yang akan menerima kesan yang sangat besar kerana golongan ini merupakan konsumer terbesar. Sekarang rakyat juga mengeluh kerana harga insuran kerata dan motosikal juga sudah naik, ramai merungut dengan saya.

Apa rancangan saudara mengenai isu GST ini?

Kami DAP Johor akan gerakkan kempen bantah GST. Pada masa sama kami akan terangkan kepada rakyat apa itu GST dan bagaimana GST dijalankan serta bagaimana ia akan membenbankan rakyat. Rakyat perlu diberi maklumat yang betul dan jelas. Kita bukan bantah GST tanpa sebab.

Boleh ceritakan sedikit mengenai pusat komuniti anda?

Pusat komuniti ini adalah gabungan Pusat Komuniti Parlimen Bakri dan DUN Bentayan. Kami buat selepas Jun 2013. Kami gabungkan pertama kerana dapat berkongsi sumber secara bersama dan kedua ia akan lebih memudahkan kerja wakil rakyat, di peringkat negeri dan Parlimen. Sama seperti Pusat Komuniti Kluang.

Dari mana idea pusat komuniti ini datang?

teck hwa 5Idea pusat komuniti ini adalah idea parti, selepas PRU-13, kita menang banyak kerusi di Johor. Maka automatiknya kerja dan tanggungjawab kami bertambah. Jadi kami fikir bagaimana nak tambah baik lagi keberkesanan kerja. Jadi DAP Johor ambil keputusan kami tukar format pusat khidmat menjadi pusat komuniti.

Kami mahu pusat khidmat kami juga merupakan pusat aktiviti dan tempat pertemuan antara komuniti setempat. Bukan sekadar tempat untuk membuat aduan berkaitan isu tempatan. Tetapi ia boleh menjadi pusat sehenti untuk aktiviti, mesyuarat, perolehan maklumat dan sebagainya.

Di pusat komuniti ini, formatnya mesti mempunyai ruang bacaan yang santai, maka kita perlu ada buku yang sesuai untuk bacaan ramai. Jadi perpustakaan mini.

Selain itu ia juga akan menjadi tempat untuk masyarakat berjumpa antara satu sama lain dan berbincang. Kami mahu pusat ini bersifat inklusif iaitu mudah dan selesa bagi masyarakat.

Bagaimana dengan program pusat komuniti?

Setakat ini kami buat beberapa program yang santai untuk anak muda dan golongan umum. Baru-baru ini kami buat Screening, iaitu tayangan filem (wayang pacak) secara terbuka dan percuma.

Filem ini kami pilih yang bersesuaian dengan selera komuniti setempat. Kami tayang filem berbentuk kemasyarakatan, ada filem Tamil, mandarin dan semestinya filem Melayu.

Program ringkas ini kami sertakan dengan ‘talk’ selepas tayangan. Kami jemput aktivis filem dan seni untuk beri syarahan mengenai filem yang ditayangkan itu. Ini bertujuan nak beri pendedahan kepada rakyat memahami filem yang bercorak kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Selain daripada itu, kita ada buat acara memagang di pusat komuniti kami, kita ajak kawan-kawan anak muda untuk sama-sama panggang ayam dan ikan. Ia lebih kepada program santai yang bukan berorientasikan politik. Kami tidak mahu semua program bercorak politik, sebab yang lebih penting, kami dapat berkenalan dengan lebih dekat.

Selepas ini, mungkin Mei nanti, kami akan buat satu pesta mewarna bagi kanak-kanak kawasan Bakri dan Bentayan. Kami nak tengok dan raikan bakat anak-anak kita.

Selain itu, ceramah kecil-kecilan juga kami buat, tapi tak berkala.

Apa harapan saudara selepas ini?

Saya sebagai wakil rakyat, pasti mengharapkan khidmat yang terbaik untuk masyarakat. Dalam keadaan kekurangan sumber, kami tetap akan laksanakan tugas. Kami akan tingkatkan mutu perkhidmatan dalam aspek penyampaian maklumat kepada penduduk setempat.

Kami yakin, dengan maklumat yang betul dan telus, rakyat akan yakin. Tidak mustahil PR Johor akan buat sejarah lebih besar selepas ini. Seterusnya, cita-cita untuk ke Nusajaya dan Putrajaya akan tercapai. – Roketkini.com