Berita

Rukun Negara galak amalan liberal pelbagai budaya

KUALA LUMPUR, 25 FEBRUARI: Perkataan ‘liberal’ yang diselewengkan pihak ekstrem kaum dan agama untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu terhadap idea yang tidak selari dengan mereka sebenarnya terkandung dalam Rukun Negara.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud mengungkap kembali lima prinsip yang menjadi garis panduan usaha membina negara-bangsa Malaysia dan menyifatkannya sebagai idealogi negara, bukan kata-kata kosong semata.

“Rukun Negara menyatakan dengan jelas bahawa kita berikrar memastikan pendekatan liberal terhadap tradisi budaya Malaysia yang kaya dan pelbagai.

“Maka, kita antara lain patut berusaha untuk mencapai kesatuan di kalangan rakyat Malaysia, mengekalkan cara hidup demokratik dan mewujudkan masyarakat adil.

“Bukannya menunjukkan aksi ‘sembelih ayam dan tampar’ yang tidak bertamadun atau mengisytiharkan darah peserta demonstrasi halal untuk dibunuh, menggelar satu sama lain sebagai ‘bughah’ atau ‘kafir harbi’ hanya untuk membuktikan siapa yang lebih berjiwa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, tindakan golongan ekstrem itu ternyata bertentangan dengan Rukun Negara.

“Kita sepatutnya mendukung nilai dan prinsipnya yang akan menjadikan kita rakyat Malaysia yang sebenar. Di manakah ‘kesopanan dan kesusilaan’ kita – prinsip kelima Rukun Negara?” katanya lagi.

Beliau merujuk pelbagai insiden yang sengaja dicetuskan sesetengah pihak yang ingin menimbulkan konflik kaum dan agama akhir-akhir ini, antaranya mengancam pengulangan peristiwa ‘13 Mei’.

Perkataan ‘liberal’ sering kali menjadi modal pihak ekstrem kaum dan agama menyerang sesiapa yang tidak bersetuju dengan perkauman sempit mereka.

Terbaru, cadangan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup agar kategori ‘kaum’ dibuang dalam borang rasmi dibantah Perkasa dan Isma (Ikatan Muslim Malaysia) yang menuduhnya sebagai ‘petanda pemikiran liberal menyelinap dalam kerajaan’.

“Bilakah kali terakhir kita menyebutnya? Saya pasti ada sebahagian daripada kumpulan ekstremis itu tidak hafal pun, apatah lagi menjiwai makna Rukunegara namun masih menggelarkan diri mereka sebagai ‘nasionalis, ‘pembela’ hak Melayu dan Islam.

“Mereka mengatakan ia adalah tanda ‘pemikiran liberal’ menyelinap dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Wahai Perkasa dan Ikatan Muslim Malaysia (ISMA), perkataan ‘liberal’ ada dalam ideologi kebangsaan kita,” katanya lagi.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III Muazzam Shah.

Pengisytiharan itu menyatakan, ‘bahawasanya negara kita mendukung cita-cita hendak:

Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak; dan membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.-Roketkini.com