Berita

Pencemaran Sungai Batu Ferringhi: IWK, Jabatan Alam Sekitar dituntut dedah punca sebenar

GEORGE TOWN, 25 FEBRUARI: Indah Water Konsortium (IWK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak boleh lari daripada menyatakan kepada rakyat Pulau Pinang punca sebenar berlakunya pencemaran air Sungai Batu Ferringhi dan pantainya serta langkah pencegahan yang dilaksanakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, ini kerana jawapan Pengurus Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada 18 Februari lalu, jelas menunjukkan pencemaran itu tidak membabitkan operasi loji rawatan itu.

Katanya, pencemaran secara besar-besaran seperti itu tidak mungkin berpunca daripada individu atau satu pengusaha, sebaliknya datang daripada satu punca besar berbentuk institusi.

“Walaupun keadaan air sungai sudah pulih dan pantai kini bersih, asal usul serta sebab musabab dikenalpasti agar keadaan pencemaran tidak berulang.

“Lebih-lebih lagi bila ada video Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang jelas membuktikan air paip IWK melepaskan air kotor hitam ke Sungai Batu Ferringhi,” katanya dalam kenyataan media.

Oleh itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pihak yang dipertanggungjawabkan menjalankan tugas perundangan seperti IWK dan JAS, perlu memelihara dan melindungi alam sekitar dengan menunaikan amanah yang diberikan.

Proses rawatan air di Loji Rawatan Air PBAPP di Batu Ferringhi adalah menggunakan sumber air mentah yang daripada Empangan Teluk Bahang yang perlu menjalani proses pengudaraan (aeration), flokulasi dan koagulasi, pemendapan dan penapisan sebelum dapat disalurkan kepada pengguna daripada tangki simpanan air terawat.
Tangki pemendapan akan dicuci setiap enam (6) bulan sementara tangki penapisan dicuci setiap 72 jam. Air cucian daripada kedua-dua tangki itu akan disalurkan ke tangki pengenapan (supernatant tank) di mana mendapan tangki ini akan disimpan di kolam simpanan sisa enapan (sludge lagoon).

Apabila kolam simpanan sisa enapan ini sudah penuh pihak PBAPP akan mengupah kontraktor bertauliah untuk mengambil sisa ini ke timbus tanah yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar.

Lebihan air daripada proses ini akan dipam semula masuk ke loji rawatan untuk dicampurkan bersama air daripada Empangan Teluk Bahang untuk rawatan semula (recycle).

Oleh kerana Loji Batu Feringghi tertakluk di bawah pensijilan ISO 14001:2004 (piawaian ‘environmental management system’) yang diperoleh sejak 2005, maka proses rawatan air tidak boleh membuang air sisa buangan terus ke alam sekitar atau Sungai Batu Ferringhi sewenang-wenangnya.

Oleh yang demikian, pihak PBAPP mengamal dan mempraktikan ‘zero discharge’ daripada Loji Rawatan Air Batu Ferringhi. Perkara itu telah disahkan oleh tiga Pegawai JAS yang melakukan pemeriksaan di Loji Rawatan Air Batu Ferringhi pada 10 Februari lalu.-Roketkini.com