Berita

Pembelian tanah di Pulau Indah, satu lagi projek pembaziran 1MDB

KUALA LUMPUR, 25 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempertikai pengambilalihan tanah oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Pulau Indah, Klang yang menimbulkan banyak persoalan.

Beliau berkata, pengambilalihan tanah itu diumumkan Tadmax Resources Bhd (Tadmax) pada 20 Februari lalu melalui perjanjian jualan saham dengan Ivory Merge Sdn Bhd untuk menjual 310 ekar tanah bernilai RM317,334,600 yang akan dibayar secara tunai.

“1MDB sekarang dibebani banyak hutang yang dianggarkan berjumlah lebih RM30 bilion serta dilihat cuba mendapatkan projek hartanah mega di Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia.

“Jadi, kami ingin tahu mengapa 1MDB melihat ia sangat penting untuk tiba-tiba ‘melabur’ tambahan RM137 juta membeli tanah di Pulau Indah?” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, hari ini.

Tanah milik penuh anak syarikat Tadmax Power Sdn Bhd (TPSB) itu merangkumi 379 ekar tanah kosong. Tadmax dahulunya dikenali dengan nama Wijaya Baru Global Bhd dan TPSB adalah Wijaya Baru Development Sdn Bhd sehingga November 2013.

Kumpulan syarikat Tadmax sebelum ini terkenal dengan pembabitan mereka dalam skandal RM12.5 bilion Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang menyebabkan kerugian besar kepada Kerajaan.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan turut menggesa 1MDB memberi jawapan mengenai harga pembelian tanah yang dilihat sama sekali tidak masuk akal.

“Adakah 1MDB sedar bahawa tanah yang sama dibeli pada RM23.50 kaki persegi (psf) bernilai hanya RM9.93 psf pada Ogos 2011?

“Penilaian laporan tahunan Tadmax pada 2012, halaman 113 sendiri menyebut bahawa harga adalah RM163.9 juta untuk 379 ekar tanah.

“Bagaimana nilai tanah kosong meningkat begitu besar iaitu 136.7 peratus dalam tempoh kurang daripada dua setengah tahun?,” soalnya lagi.

Sebelum ini dilaporkan, Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dilantik sebagai pemaju oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk menyiapkan PKFZ juga merupakan anak syarikat Wijaya Baru Global Bhd (Tadmax).

Syarikat itu turut terbabit menjual 753 ekar tanah di Pulau Indah kepada PKA dengan harga astronomi bernilai RM1.09 bilion pada 2004.

“KDSB dan Tadmax terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan LPK, manakala Ketua Audit Negara dalam sknadal PKFZ mendakwa pegawai tertentu kedua syarikat melakukan penipuan,” katanya.

Tambah Tony, Tadmax juga mempunyai pertalian langsung dengan kerajaan apabila lembaga pengarah mereka diketuai oleh individu UMNO-BN.

“Pemegang saham tunggal terbesar Tadmax ialah Datuk Seri Tiong King Sing, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KDSB. Tetapi beliau menjual 30.15 peratus ekuiti syarikat itu pada 2011 dan hari ini memegang kepentingan hanya 5.33 peratus.

“Pengarah Tadmax pula terdiri daripada Datuk Seri Abdul Aziz Zabidi selaku Pengerusi (bekas Bendahari UMNO) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Faizal Abdullah (Timbalan Pengerusi UMNO Bahagian Kapar),” ujarnya. -Roketkini.com