Berita

Teresa cabar Najib bertindak tegas terhadap pelampau, bukan jadi bacul

KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan beliau seorang pemimpin yang boleh bertindak tegas terhadap pelampau dan penghasut dalam negara.

Beliau berkata, kenyataan Najib Selasa lalu yang menyarankan rakyat supaya mengabaikan saja segala provokasi daripada kumpulan pelampau adalah tidak masuk akal sama sekali.

Katanya, ucapan Najib itu bukan saja mengejutkan dan luar biasa malah sangat mengecewakan seluruh rakyat yang cintakan keamanan.

“Bolehkah Najib memberitahu rakyat Malaysia bahawa mereka hanya perlu mengabaikan saja segala tindakan dan suara provokatif puak pelampau?

“Saya mengingatkan Najib, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk bertindak pantas dan tegas terhadap pelampau yang menyemarakkan kebencian kaum, agama serta mencabar kedaulatan undang-undang. PM tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya,” katanya dalam kenyataan.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu turut menyatakan, satu lagi contoh tindakan bacul kerajaan selain mendiamkan diri adalah apabila mereka sanggup membela puak pelampau yang jelas melakukan kesalahan jenayah.

Jelasnya, ia terbukti melalui cara kerajaan menguruskan demonstrasi sembelih ayam terhadap pemimpin DAP dan PKR termasuk menawarkan ganjaran kepada individu yang berjaya menampar mukanya, 6 Januari lalu.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi memberi tindak balas yang tidak bertanggungjawab apabila beliau berkata ganjaran wang tunai untuk menampar saya bukan satu ancaman,” ujarnya.

Dalam temubual dengan portal Malaysiakini baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin turut memperlekehkan kepimpinan kerajaan di bawah Najib.

“Untuk pertama kalinya dalam sejarah, orang ramai begitu serius pada keadaan politik negara. Mereka mahu tahu apa yang berlaku dan jika anda melihat ramai warga mula meragui kestabilan Malaysia.

“Saya rasa apa yang mereka mahu lihat ialah kepimpinan yang kukuh tapi sayang mereka tidak menemuinya,” kata Daim dipetik Malaysiakini. -Roketkini.com