Berita

Impian Sabah, pendekatan baru tewaskan BN – Edwin Bosi

SHAH ALAM, 8 MAC: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kapayan, Dr Edwin Bosi menyatakan jalan paling baik untuk Pakatan Rakyat menakluk Malaysia adalah dengan menggembleng seluruh tenaga di Sabah.

Beliau berkata, tumpuan menyeluruh perlu diberikan terutama di kawasan pedalaman dan majoriti Muslim yang kental menyokong BN.

“Menurut Bank Dunia, Sabah merupakan negeri paling miskin. Apa yang lebih memeritkan adalah apabila kerajaan menaikkan harga barang, ini sudah tentu menjadikan mereka bertambah melarat.

“Namun, di kawasan pendalaman dan majoriti Muslim, dalam keadaan sedemikian pun mereka masih memilih BN. Jadi kita perlu bertanya mengapa masih BN? Apakah segala penerangan kita selama ini tidak sampai atau diterima? Ini wajib difikirkan.

“Jadi pada saya, sudah sampai masanya bermula dari sekarang, satu pendekatan baru diambil dan ia memerlukan gerak kerja semua pimpinan termasuk dari Semenanjung,” katanya dalam sesi pidato ‘Pakatan Membela Rakyat’ di Konvensyen Pakatan Rakyat ke 5, hari ini.

Menurut beliau, salah satu usaha yang dilihat berjaya dan mampu menjanjikan sesuatu adalah projek Impian Sabah oleh DAP.

“Saya berharap dengan keupayaan dan kerjasama kita dalam PR lebih banyak program seumpamanya dapat diadakan.

“Ini perlu untuk kita membuktikan bahawa hanya PR yang mampu menyelesaikan masalah rakyat yang membarah,” ujarnya.

Edwin turut menyarankan agar PR membuat semakan semula Perjanjian Malaysia 1963 dan Perjanjian 20 Perkara Sabah yang ternyata tidak langsung diambil kira oleh BN.

“Perjanjian Malaysia dan Perjanjian 20 perlu kita titik beratkan, kerana BN bukan saja mengabaikannya tapi memutarbelitkannya untuk berterusan mengaut segala harta kekayaan khazanah masyarakat Sabah.” – Roketkini.com