Berita

Kit Siang turut sedih kehilangan MH370, nasib 239 penumpang

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau seperti juga sebahagian besar rakyat Malaysia sedih dengan tragedi kehilangan pesawat MH370 yang masuk hari keempat dan tanpa sebarang perkhabaran jelas apa yang berlaku ke atas penumpang dan anak kapal Boeing B777-200 itu.

Menurut beliau, setakat ini tiada tanda-tanda yang pesawat itu terhempas, tiada serpihan ditemui, tiada isyarat kecemasan sebelum ia terputus hubungan dengan pusat kawalan dan tiada petanda jelas bahawa pesawat itu mengalami kegagalan teknikal di udara selepas dilaporkan hilang daripada radar dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

“Semakin sukar bagi warga Malaysia dan warga lain di seluruh dunia untuk terus bergantung harapan, namun semua kita perlu terus mendoakan keselamatan dan keajaiban untuk 239 orang yang berada dalam pesawat MH370 itu.

“Kita terpaksa berdepan dengan kemungkinan bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku terhadap pesawat dan 239 penumpang dan anak kapal walaupun operasi mencari dan menyelamat antarabangsa ditingkatkan,” katanya dalam kenyataan media.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, tanpa mengira fahaman politik, kaum, agama atau kewarganegaraan, semua penduduk Malaysia dan dunia, khususnya penduduk di 14 negara yang warganya berada dalam pesawat itu, perlu bersatu-padu untuk terus memberi sokongan dan galakan kepada saudara, keluarga, dan sahabat 239 penumpang dan anak kapal yang sedang menempuh saat paling menyedihkan, mengharukan dan mencabar.

Beliau berkata, tragedi dan misteri MH370 telah memasuki hari keempat dan semakin banyak persoalan timbul mengenai pengurusan krisis, kehilangan pesawat dan operasi mencari dan menyelamat.

Namun, katanya, semua persoalan itu perlu diketepikan terlebih dahulu untuk memberi tumpuan kepada usaha mencari pesawat terbabit dan sokongan kepada keluarga 239 penumpang dan anak kapal yang terjejas.

“Atas sebab itu, saya tidak akan mengemukakan sebarang komen, kritikan, atau respons (termasuk terhadap tuduhan jahat yang dilemparkan kepada saya) sepanjang tempoh tiga hari ini.

“Marilah kita memberi sepenuh tumpuan dan memanjatkan doa bagi 239 penumpang dan anak kapal MH370 serta keluarga dan sahabat handai mereka,” katanya.-Roketkini.com