Berita

Maklumat MH370 bercanggah bukti negara lemah tangani krisis – Anwar

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kaedah penyampaian maklumat berhubung kehilangan pesawat MH370, terutama beberapa kenyataan bercanggah daripada pihak berkuasa yang mengelirukan.

Berucap di Dewan Rakyat tengah hari semalam, beliau berkata, ia menunjukkan kerajaan lemah dalam menangani krisis berkenaan.

“Pemangku Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) kata empat pasport palsu, Interpol dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) pula kata dua.

“Bila dikritik, kata (kita) politikkan isu. Mana boleh, ini krisis (yang) membabitkan nyawa,” katanya.

Sebelum ini, Hishammuddin mengesahkan bahawa empat penumpang pesawat itu menggunakan pasport curi, namun Interpol hanya mengeluarkan gambar dua individu yang berbuat demikian.

Kenyataan Hishamuddin itu juga disangkal Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Katanya lagi, kelemahan itu merosakkan imej negara dengan teruk, terutama selepas pelbagai media antarabangsa mengkritik kaedah kerajaan menangani krisis yang berlaku.

“Ini (tunjukkan) ketidakcekapan. Pagi tadi, BBC kata mengapa tiada satu pihak autoriti yang mengemaskini maklumat. Lebih keras daripada (Agensi Berita) China, Xinhua yang anggap maklumat tidak sampai,” katanya lagi.

Memetik laporan Xinhua semalam, kerajaan China mendesak Malaysia agar mewujudkan saluran bersepadu untuk menyampaikan maklumat yang sah dan terperinci berhubung isu itu.

Wujudkan pusat saluran maklumat

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan melantik pihak yang boleh menyampaikan maklumat yang sah dan tepat berhubung isu itu.

“Kita tidak boleh urus krisis dengan cara ini. Kenyataan perlu disahkan, perlu ada pusat arahan (central command),” katanya dengan mengambil contoh kecekapan negara menangani krisis serangan Japanese Red Army (JRA) di bangunan AIA pada 1975.

“Itu krisis antarabangsa Malaysia pertama. Tun Abdul Razak utuskan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Osman Cassim untuk selaraskan tindakan. (Krisis itu) Berakhir dengan cemerlang.

“Kenyataan yang diberikan konsisten, tidak sembunyikan maklumat. (Akhirnya) Beliau dapat anugerah (antara) tertinggi Raja Sweden,” katanya lagi.

Pada 2008, Osman dianugerahkan Royal Order of the Polar Star oleh Raja Carl XVI Gustaf kerana keberaniannya menggadaikan nyawanya untuk membebaskan 50 tebusan JRA ketika itu.

Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng pada satu sidang media di Parlimen pagi semalam turut menyarankan hal itu, bagi mengelak negara daripada terus dimalukan di peringkat antarabangsa. – Roketkini.com