Berita

Kerajaan BN khianati MOU, PR desak Selangor hentikan projek Langat 2

 

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyeru Majlis Eksekutif dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk menahan semua kelulusan baki projek Langat 2 berikutan kegagalan Kerajaan BN memenuhi janjinya.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli dan Pengarah Pusat Penyelidikan Pembangunan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan bersama menegaskan Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 26 Februari kini dengan sendirinya telah terbatal akibat kegagalan itu.

Mereka turut mengecam Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung penggunaan Akta Industri Perkhidmatan Air, sekaligus mengkhianati perjanjian bersama Selangor.

“Kami ingin mengingatkan Dr Maximus bahawa Selangor telah membuat tawaran akhir. Tawaran itu telah ditolak oleh syarikat-syarikat konsesi.

“Kerajaan BN telah gagal melaksanakan bahagian mereka iaitu untuk memujuk syarikat supaya menerima tawaran. Selangor tidak akan meningkatkan nilai tawaran, jadi perjanjian telah berakhir dan tidak ada lagi rundingan lain.

“Lima tahun rundingan dengan syarikat konsesi penswastaan tamak adalah satu tempoh masa yang sia-sia sahaja,” katanya.

PR juga menggesa Dr Maximus agar berhenti ‘bermain wayang’ kerana ia tidak mendatangkan sebarang hasil, malah memanjangkan bebanan masalah penduduk.

“Dr Maximus perlu berhenti berpura-pura menunggu ‘sedikit harapan’. Harapan itu telah hilang. Krisis air di Selangor perlu diselesaikan segera dan rakyat tidak boleh diheret untuk menunggu lebih lama lagi.

“Kita tidak harus mempunyai perasaan simpati kepada syarikat-syarikat air yang telah mengaut keuntungan ratusan juta ringgit tetapi berterusan menolak tawaran adil mengenai pengambilalihan.

“Namun, kegagalan Dr Maximus dan Kerajaan BN bukanlah satu kejutan kerana memang dari awal kami tidak mempunyai keyakinan bahawa mereka mampu berurusan dengan syarikat konsesi air yang tamak,” ujar kenyataan tersebut.

Kerajaan BN baru-baru ini mengumumkan untuk melaksana WSIA supaya dapat membantu Selangor melanjutkan kesepakatan. Selang beberapa hari, pada Jumaat lalu, Dr Maximus tiba-tiba menyatakan kerajaan tidak akan menggunakannya.

Tindakan itu jelas bertentangan dengan kenyataan bersama yang dibuat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Selasa lalu iaitu termasuk menggunakan Seksyen 114 dalam WSIA untuk mengatasi isu-isu kepentingan nasional bagi menjamin keamanan, kelanjutan dan kelangsungan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. – Roketkini.com