Berita

PRK Kajang: Henti segera sebar gambar, risalah fitnah

KUALA LUMPUR, 20 MAC: DAP mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengedarkan bahan palsu dan fitnah ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang seperti yang ditemui baru-baru ini.

Ini termasuk risalah fitnah ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gambar palsu calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun.

“Ia sangat menyedihkan apabila taktik kotor sebegitu digunakan. PKR sudah pun mengecam tindakan itu.

“Saya harap sesiapa yang bertanggungjawab dengan taktik jijik dan tidak beretika itu berhenti segera berbuat demikian,” kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim dalam satu kenyataan.

Pada 17 Mac lalu, gambar wanita berpakaian bikini yang diubahsuai dengan wajah Chew diiringi dengan ayat ‘Undilah saya, N25 Kajang’ tersebar di laman sosial.

Sejurus selepas itu, PKR segera mengecam tindakan pihak yang terbabit dan menyarankan Chew dan MCA membuat laporan kepada Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (SKMM).

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen DAP Seputeh itu berkata, beliau sendiri sering menjadi mangsa ubahsuai gambar dan baru-baru ini, kenyataan palsu berhubung kehilangan pesawat MH370.

“Saya sudah membuat laporan polis dan kepada SKMM. Saya juga bangkitkan isu berhubung kenyataan palsu, kononnya saya kata kehilangan MH730 kerana pengganas Muslim di Parlimen.

“Namun malangnya, polis dan SKMM setakat ini seperti tidak mampu menahan orang yang bertanggungjawab,” katanya lagi.

Kenyataan palsu itu berbunyi ‘Siapa boleh nafikan insiden kehilangan MH370 dilakukan oleh pengganas Muslim – YB Teresa Kok, MP Seputeh’ dan disyaki mula disebarkan laman Facebook ‘Kami sokong DAP diharamkan seumur hidup’. -Roketkini.com