Berita

Bank Negara patut perkenalkan Skim Milikan Bersama untuk pembeli rumah kali pertama – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) sepatutnya mengembalikan semula Skim Berjajaran Kepentingan Pemaju (DIBS) serta memperkenalkan Skim Milikan Bersama (SOS) untuk pembeli kali pertama perumahan awam dan rumah mampu milik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Laporan Tahunan Bank Negara 2013 yang terbaru mendedahkan bahawa BNM begitu berpandangan singkat, kurang peduli, tidak bertanggungjawab dan tidak profesional terhadap masalah negara yang kini mempunyai tahap hutang isi rumah kedua tertinggi di Asia.

Katanya, BNM menolak kenaikan tahap hutang isi rumah di Malaysia yang meningkat daripada 81.1% daripada KDNK pada 2012 kepada 86.8% pada 2013 sebagai risiko terhadap kestabilan kewangan negara.

“BNM mesti menyedari bahawa perkara ini terjadi kerana tahap pendapatan kita tersekat dalam kebekuan dengan kadar inflasi pantas melampaui kadar kenaikan gaji.

“Ini memaksa ramai orang bergantung kepada hutang kredit bagi menampung kos sara hidup malah terpaksa berhutang dengan ‘ah long’ apabila mereka gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, dengan jumlah besar hutang isi rumah sebanyak RM854.3 bilion pada 2013, peratusan isi rumah berhutang dengan isi rumah yang berpendapatan sehingga RM3,000 menyumbang kepada 27% jumlah pinjaman isi rumah bernilai RM230.17 bilion.

Menurutnya, BNM juga menyatakan bahawa pengaruh agregat bagi isi rumah berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan adalah tujuh kali (ditukar sebagai nisbah pinjaman belum langsai kepada pendapatan tahunan) lebih tinggi dan wajar dikurangkan.

“Ini membuktikan pendapatan golongan berpendapatan rendah tidak cukup untuk menampung inflasi, jadi ramai daripada mereka terpaksa meminjam supaya dapat mandiri dan mengekalkan standard kehidupan masing-masing.

“Dengan kadar pinjaman belum langsai yang begitu tinggi sebanyak tujuh kali ganda pendapatan tahunan, adalah sukar dan hampir mustahil bagi golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank dan institusi kewangan,” katanya.

Beliau berkata, bagaimana pembeli kali pertama daripada golongan berpendapatan rendah boleh mampu membeli rumah sendiri apabila BNM mengurangkan tempoh maksimum pinjaman hartanah daripada 45 tahun kepada hanya 35 tahun.

Katanya, pengurangan tempoh itu hanya akan menambahkan bayaran bulanan pinjaman perumahan dan menjadikannya golongan berpendapatan rendah sukar mendapatkan pinjaman.

Sehubungan itu, Guan Eng meminta BNM mengembalikan semula DIBS untuk pembeli kali pertama bagi membolehkan mereka mencapai impian memiliki rumah sendiri.

“Sudah terlalu banyak aduan mengenai bank yang tidak meluluskan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah kerana keupayaan membayar balik yang rendah.

Sebab ini, menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan SOS untuk rumah kos rendah bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, di bawah SOS, hartanah adalah dimiliki secara bersama dengan kerajaan negeri yang memberi pinjaman sehingga 30% daripada harga hartanah kepada golongan berpendapatan rendah tanpa sebarang faedah.

“Ramai golongan berpendapatan rendah yang akan layak kerana mereka hanya perlu meminjam 70% daripada nilai harga hartanah terbabit.

“Demi demokrasi perumahan, DAP menyeru BNM turut memperkenalkan SOS untuk rumah mampu milik dan perumahan awam bagi membantu pembeli kali pertama layak membuat pinjaman perumahan demi memiliki rumah mereka sendiri,” ujarnya. – Roketkini.com