Berita

DAP seru Turki tarik balik pengharaman Twitter, hormati kebebasan bersuara

KUALA LUMPUR, 23 MAC: DAP dengan tegas menyeru Turki untuk menghormati kebebasan bersuara dan menarikbalik pengharaman laman rangakaian sosial, Twitter.

Tindakan ini muncul hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan mengumumkan hasratnya untuk menghalang rangkaian media sosial, dalam suatu rapat umum di Bursa pada 20 Mac.

Erdogan dilaporkan sebagai berkata, “Kita akan menghapuskan twitter. Saya tidak peduli apa pendapat masyarakat antarabangsa. Semua orang akan menyaksikan kekuasan Republik Turki.”

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam keras tindakan terbabit yang disifatkannya sebagai langkah yang diambil secara sesuka hati dan bersifat kuku besi.

“Kerajaan Turki telah menghalang akses kepada aplikasi media sosial popular, Twitter, dalam satu tindakan mengarut yang hanya sesuai dengan pentadbiran berbentuk diktator dan bukannya sistem demokrasi sebagaimana yang diharapkan dunia terhadap Turki,”

“DAP sesungguhnya percaya bahawa pengharaman sedemikian adalah tidak boleh diterima dan merupakan suatu pelanggaran terhadap hak bersuara dan berpendapat,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurut beliau, kritikan umum adalah sebahagian daripada demokrasi, dan sewajarnya diberikan ruang selagimana ia bersifat aman.

“Prinsip asas kebebasan ini tidak boleh ‘dipenjarakan’ oleh mereka yang berkuasa memandangkan mereka boleh bertindak terhadap penipuan dengan melakukan saman fitnah.

Katanya lagi, kerajaan Turki tidak perlu takut kepada aplikasi media sosial seperti Twitter.

“Hanya mereka yang takut akan kebenaran dan mahu menakut-nakutkan rakyat akan mengharamkan Twitter,” tambah beliau.

“Seperti yang disebut Thomas Jefferson, Apabila kerajaan takut kepada rakyat, wujudlah kebebasan; apabila rakyat takutkan kerajaan, wujudlah kezaliman.’ – Roketkini.com