Rencana

Bagaimana kepiluan menyatukan kita – Oleh Dyana Sofya

SATU daripada kumpulan kegemaran ayah adalah Bee Gees. Saya membesar dengan lagu mereka, terutama ketika hujung minggu ketika beliau menghabiskan masa berjam-jam di depan sistem bunyi lengkapnya untuk mendengar lagu klasik, daripada Black Magic Woman-nya Santana, Another Brick in the Wall dari Pink Floyd sehinggalah Teratai nyanyian Sweet Charity.

Ibu yang suka berbual, sama ada secara bersemuka atau di telefon tidaklah terlalu suka dengan rutin hujung minggu ayah, kerana terlalu bising untuknya mendengar suara sendiri. Namun, mereka dengan separa sedar tetap ingin berada di bilik yang sama, meskipun keperluan masing-masing berbeza.

Tragedi MH370 menyedarkan kita semua nilai keluarga, bersatu padu dan kebersamaan. Mereka yang menaiki MH370 adalah ayah, ibu dan anak kepada seseorang. Kita mungkin tidak sama latar belakang, bangsa, bahasa, warna kulit dan budaya. Kita miliki kegemaran, tabiat dan pandangan berbeza. Akan tetapi, mereka adalah saudara kita sesama manusia.

Insiden itu menunjukkan bahawa kita semua miliki pertalian – kita pertama sekali adalah manusia. Kita berkongsi rasa tidak percaya dan bimbang yang sama selama 20 hari, mengharapkan sebarang petunjuk dan jawapan mengenai kehilangan MH370 bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal. Kita semua bingung, bagaimana pesawat berteknologi canggih hilang tanpa kesan. Jantung kita berhenti seketika apabila Perdana Menteri mengumumkan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Hati, fikiran dan doa kita bersama-sama penumpang dan anak kapal, serta keluarga dan rakan mereka.

Rakan saya berkata, “Keluarga mereka perlukan kekuatan, simpati dan perhatian kita.” Dan saya setuju. Kita perlu hulurkan bantuan, dengan apa sahaja cara yang termampu.

Kita mungkin berduka dengan cara berbeza. Ada mencari jawapan, ada yang memilih untuk mencari penamat, ada juga yang mengambil jalan dengan marah. Sebilangan menghabiskan berjam-jam mengenai teori konspirasi. Namun, kesedihan untuk satu kehilangan adalah universal. Daripada menghakimi antara satu sama lain atau berbalah, pandanglah sesama kita, fahami bahawa ini adalah detik sukar dan buangkan hal negatif. Kita tidak perlu menambah derita mereka yang terkesan secara langsung.

Sememangnya rentan itu adalah sifat manusia, ia bukan kelemahan. Kita memerlukan, dan perlu menjaga satu sama lain. Insiden ini menyatukan kita.

Saat ini, apa yang kita perlukan adalah bahu untuk menyandar dan tangan untuk menyokong. Hal-hal lain boleh ditangguh dahulu.

Kita perlu diingatkan untuk menghargai orang di sisi; ibu bapa, anggota keluarga, kawan dan lawan, rakan sekerja, tetangga dan juga mak cik penjual kuih di tepi jalan, di mana kita selalu berhenti dan membeli goreng pisang daripadanya. Akui kewujudan mereka, ucapkan salam yang ringkas, tunjukkan yang kita mengambil berat, hulurkan pertolongan dan budi. Kita mungkin menjadi sinar yang mereka perlukan saat itu. Sikap ambil berat, tunjukkan simpati dan tinggalkan kesan kepada sesiapa – ini semua membawa kebahagiaan kepada pemberi dan penerima.

Saat penerimaan dan penghargaan adalah saat kesatuan dan kebersamaan.

Kita adalah satu keluarga besar, di sebalik perbezaan kita. Keluarga hadir demi satu sama lain. Kita kini adalah satu keluarga dalam kepiluan dan perlu meminjamkan bahu serta menyokong satu sama lain, di bawah satu bumbung bernama Malaysia yang kita kongsi bersama.

MH370, anda akan sentiasa ada di hati kami.

Sudah agak lama saya tidak menghabiskan masa bersama ibu bapa dan saya akan pulang ke Ipoh pada hujung minggu ini, untuk mendengar lagu-lagu lama bersama ayah dan berbual bersama ibu, di dalam bilik sama, pada masa sama. Tuhan, berikanlah saya peluang untuk melakukannya. Juga, saya perlu mengelak soalan mengenai perkahwinan ketika berhenti melawat nenek di Kuala Kangsar (Tuhan, saya perlukan pertolongan untuk itu).

Kasih dan doa saya kepada penumpang dan anak kapal MH370, keluarga dan rakan mereka, serta sesiapa yang terkesan secara langsung daripada tragedi ini.

Kepada MH370,

‘I keep the memory of you and me, inside. We don’t say goodbye.’
-’Immortality, ditulis oleh The Bee Gees, nyanyian Celine Dion.

Al-fatihah. – Roketkini.com