Berita

Lori Lynas terbalik, DAP gesa tindakan segera pihak berkuasa

MENTAKAB, 28 MAC: DAP menggesa polis dan Jabatan Alam Sekitar agar mengambil tindakan segera terhadap lori Lynas membawa bahan kimia buangan yang terbalik di Mentakab, pagi tadi.

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, tindakan lanjut perlu dilakukan serta merta kerana dikhuatiri bahan kimia yang dibawa akan membahayakan penduduk sekitar.

Dalam lawatannya ke tempat kejadian, beberapa orang penduduk telah membuat aduan mengalami kegatalan di kulit muka dan badan akibat sisa kimia yang terbalik itu.

“Saya mendapat laporan lori Lynas itu terbalik kira-kira sekitar jam 9 hingga 11 pagi tadi di Batu 7 Jalan Mentakab menghala ke Lancang.

“Sehingga kini masih tidak ada pengesahan dari polis dan Jabatan Alam Sekitar apakah jenis bahan kimia itu. Saya bimbang kelambatan melakukan tindakan akan mendatangkan musibah lebih buruk kepada penduduk.

“Jika kecuaian tidak diatasi segera, apakah pihak berwajib boleh memberi jaminan bahawa bahan kimid dibawa tidak mengancam kesihatan dan keselamatan penduduk akan terkawal,” katanya yang juga Adun DAP Mentakab.

“Setakat ini hanya polis Temerloh sahaja yang buat sidang media, tapi mengapa pihak Lynas berdiam diri?

“Sekiranya bahan-bahan tersebut terjatuh dari lori yang ditutup dengan kanvas, adakah ini sahaja SOP (standard operating procedure) untuk mengangkut bahan berbahaya Lynas?” tambahnya.

Sementara itu ADUN DAP Bilut, Chow Yu Hui melalui laman Facebook nya berkogsi sekeping gambar yang menunjukkan bahan kimia yang tercicir tersebut beserta keterangan bahawa bahan kimia tersebut boleh menyebabkan gatal-gatal kulit sekiranya disentuh manusia.

Yu Hui turut menulis bahawa lori terbabit membawa 15 tong bahan kimia, 13 darinya terjatuh apabila pintu lori tersebut tertanggal.

Polis setakat ini telah membuat sekatan jalan raya dari dua arah ke tempat kejadian. -Roketkini.com