Berita

Halang permit akhbar, bukti terbaru BN tidak serius tentang transformasi

KUALA LUMPUR, 1 APR: Tindakan menafikan permit akhbar dua portal berita internet merupakan satu lagi bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak bersungguh dalam usaha transformasi yang ia sendiri rencanakan.

Menurut Penolong Setiausaha Wanita DAP Wong Shu Qi, penolakan permit FZ.com dan Malaysiakini oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa alasan kukuh dan logik menunjukkan bahawa BN langsung tidak mempunyai kemahuan politik untuk melakukan transformasi seperti yang sering disebutnya.

“KDN sepatutnya lebih menumpukan perhatian kepada tabloid yang menyiarkan berita tanpa bukti jelas dengan unsur sensasi melampau yang boleh menyebabkan kesan negatif daripada menolak permohonan permit mereka.

“Jika tabloid dengan laporan-laporan cerita hantu tidak berasas atau direka dibenarkan terbit, mengapa FZ.com dan Malaysiakini tidak diberikan permit?

“Sedangkan kedua portal berita itu tidak pernah mengelirukan pembaca dengan cerita palsu dan tidak berasas seperti lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

ADUN DAP Senai itu menegaskan, sebuah masyarakat terbuka dan membangun tidak harus disekat keinginan mereka kepada akses pengetahuan dan maklumat.

“Pengetahuan dan maklumat merupakan kekuatan kepada sesebuah negara. Ia kemudiannya akan membawa kepada wacana yang lebih terbuka dan sihat, serta menggalakkan pemikiran kritikal.

“Saya tertanya-tanya bukankah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lima tahun lalu pernah mengatakan ‘era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir’? Tapi Zahid bertindak macam dia tahu segalanya,” kesalnya.

Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini telah menolak permohonan permit difailkan FZ.com dan Malaysiakini dengan alasan negara sudah memiliki akhbar yang mencukupi untuk rakyat.

Zahid pula menuduh kedua portal berita itu sering menghasilkan ‘berita sensasi dan kontroversi’ yang boleh mengelirukan orang ramai. – Roketkini.com